Penduduk umur muda di negara ini menurun. Gambar hiasan

ANAK adalah anugerah Allah SWT yang paling berharga untuk ibu bapanya dan antara anugerah yang sangat tinggi nilainya kepada hambaNya. Bukan semua orang bernasib baik untuk dikurniakan anak didalam sesebuah rumahtangga. Setiap anak yang dilahirkan adalah rezeki kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT bahawa setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 31 bermaksud “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa besar.”

Namun setiap anak yang dilahirkan walaupun daripada benih yang sama akan lahir berbeza-beza paras bentuk, tingkah laku dan pencapaiannya. Memang menjadi lumrah kepada ibu bapa mahukan kejayaan untuk setiap anak-anak mereka dan biasanya kejayaan akademik menjadi kayu pengukur kejayaan. Benarkah akademik satu-satunya atau elemen yang paling penting unyuk mengukur kejayaan?

Bagaimana dengan ibu bapa yang mendapat anak lembap kerana pelbagai sebab? Bagaimana dengan anak-anak autism yang mutakhir ini, istilah ini semakin banyak digunakan jika ada kelainan perkembangan dan tingkah laku anak-anak. Adakah adil
untuk meletakkan ukuran akademik sebagai satu-satunya ukuran kejayaan atau perlukah ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini terus melupakan kejayaan akademik untuk zuriat mereka.

Autism adalah gangguan pertumbuhan tumbesar seseorang dalam jangka masa panjang yang memberi kesan dalam pemikiran kanak-kanak dan dalam proses informasi. Ia berlaku kepada kanak-kanak di antara 1 hingga 2 orang dalam 1000 dan ia terjadi 4 kali lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Sebab-sebab autism tidak diketahui tetapi berkemungkinan berpunca dari faktor keturunan atau ketidakseimbangan kimia dalam otak. Bukan semua kanak-kanak autism terencat akal.

Terdapat kira-kira 25 % daripada mereka mempunyai akal yang sihat dan
berpotensi berjaya dalam bidang akademik. Selain itu mereka juga berpotensi menguasai bidang kemahiran dan menjadikannya satu kerjaya dengan bimbingan sejak dari kecil.
Ramai ibu bapa yang masih tiada pengetahuan yang mendalam tentang autism. Apabila anak mereka dilihat melalui perkembangan yang berbeza daripada kanak-kanak lain atau adik beradik lain, sama ada mereka menganggapnya sebagai perkara biasa akibat kurang perhatian atau mereka merasakan kelainan tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Akibatnya anak dibiarkan dengan kelainan yang ada, dihantar ke sekolah yang tidak sesuai dan tidak mendapat terapi yang sepatutnya. Lebih menyedihkan lagi jika ibu bapa terlibat tidak dapat menerima hakikat menyebabkan mereka tidak berusaha memberikan terapi yang sewajarnya pada usia yang lebih awal.

Anak-anak autism biasanya mempunyai masalah komunikasi seperti lambat atau tidak boleh bertutur, kurang bergaul atau bahasa tanpa lisan yang tidak normal. Mereka juga mempunyai masalah tindak balas sosial seperti suka bersendirian, hilang tumpuan dan kurang mimik muka. Mereka mempunyai masalah tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti seperti menggerakkan anggota badan berulang kali, menumpukan perhatian pada satu objek sahaja.

Ibu bapa perlulah ada kesedaran dan bukannya menolak hakikat bahawa anak mereka autism. Mereka perlulah berusaha mencari jalan keluar dalam membantu anak-anak mereka yang istimewa ini. Pelbagai perkara baru dan perubahan yang perlu dilakukan dalam aktiviti seharian.

Anak-anak ini memerlukan perhatian yang lebih dari ibu bapanya. Ada jenis kanak-kanak seperti ini yang tantrum dan hiperaktif dan ini boleh menguji kesabaran ibu bapanya. Mempunyai anak istimewa seperti ini adalah anugerah dari Allah SWT untuk ibu bapanya supaya lebih bersabar dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa perlu sentiasa berfikiran positif dan tidak pernah putus asa.

Seawal usia 2 atau 3 tahun anak-anak yang ada kelainan perkembangan perlu di bawa berjumpa dengan pakar kanak-kanak supaya diagnosis boleh dibuat dan tindakan selanjutnya dapat diambil. Anak-anak ini perlu menjalani rehabilitasi yang merangkumi terapi pertuturan dan terapi cara kerja supaya komunikasi mereka lebih baik, pancaindera terangsang dan boleh memberi tumpuan terutama apabila masuk ke alam persekolahan.

Terdapat banyak pusat terapi sama ada di bawah kerajaan atau swasta yang dapat membantu kanak-kanak ini mendapatkan terapi. Jika dibiarkan anak-anak ini boleh menjadi panas baran dan suka mencederakan orang dan diri sendiri, jadi mangsa buli dan akhirnya mendapat masalah kemurungan.

Dengan terapi yang dimulakan seawal usia, anak-anak ini juga ada potensi besar dan menjadi aset negara yang berguna. Sudah ada antara mereka yang berjaya belajar hingga ke peringkat universiti dan akhirnya menempa kejayaan yang sama malah lebih baik daripada kanak-kanak normal. Yang penting anak-anak ini jadi sangat dekat dengan ibu bapanya kerana kasih sayang yang dicurahkan serta sikap kendiri mereka yang kurang bersosial.

Seperti anak-anak lain yang normal, sudah tertulis rezeki buat mereka. Merekalah anugerah Allah SWT untuk menjaga ibu bapa di hari tua kelak. Walaupun anak-anak ini tidak berjaya akademiknya, atau memang terencat akalnya, anak -anak ini masih satu anugerah berharga buat ibu bapanya. Mereka mungkin menjadi anak-anak syurga
yang akan menanti ibu bapa dan keluarganya di sana. Walau bagaimana rupa, perangai dan keadaan, merekalah perhiasan dunia yang patut di jaga dan disayang sebaik-baiknya oleh ibu dan bapanya.

Anak- anak merupakan perhiasan dunia dan pembantu ibu bapa didunia dan akhirat.
Bantulah anak kita yang istimewa ini kerana disisi Allah SWT mereka merupakan saham akhirat yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita perolehi jika kita redha dan menjaga anak ini dengan penuh amanah dan kesabaran.

Firman Allah dalam Surah Al-kahfi Ayat 46 yang bermasud “Harta dan anak-anak adalah
perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik
pahalanya di sisi tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Ms Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur &

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)