JOHOR BAHRU – Penyanyi era 90-an, Aida Agil kini menghabiskan usia senjanya bersendirian di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sri Stulang, Stulang Laut dekat Permas Jaya setelah impian memiliki rumah sendiri musnah apabila ditipu hampir RM120,000.

Pelantun lagu Segalanya Pasti itu memberitahu, setelah ditipu seorang individu yang menjanjikan kediaman selesa musnah, dia terpaksa hidup menumpang dan berpindah randah.

Kini Aida sudah dua tahun menetap di PPR di sini.

Dengan bantuan sebanyak RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Aida menggunakan wang itu untuk membayar sewa rumah, bil air dan elektrik serta perbelanjaan harian.

Aida atau nama sebenarnya, Aidah Agil, 61, mendakwa, sejak bergelar artis ketika berusia 20 tahun, dia tidak pernah me­nerima wang royalti atau saguhati sebagai artis.

Katanya, dia hanya menerima bayaran lebih RM3,000 daripada syarikat rakaman selepas dia mengeluarkan album sekitar 27 tahun yang lalu.

“Itulah sahaja wang yang pernah saya dapat dan sampai sekarang saya tidak pernah terima royalti,” katanya ketika ditemui di kediamannya malam tadi.

Nasibnya baik kerana mujur ada adik beradik dan saudara mara yang membantu.

Menyifatkan dunia seni kejam, beliau bagaimana pun tidak kecewa melalui kehidupannya.

Penyanyi bersuara emas itu pernah menghiasi industri hiburan tanah air sekitar tahun 1993 menerusi beberapa lagu.

Antaranya ialah Kisah Malam Minggu, Penyakit Jiwa dan Sepanjang Jalan Kenangan.

Aida berdepan ujian getir dalam hidup selepas menghidap penyakit Bell’s Palsy pada tahun 2002 sehingga mengalami kelumpuhan pada sebahagian muka kerana saraf atau otot mukanya berhenti berfungsi.

Dia terpaksa berhenti me­ngusahakan kantin di sebuah sekolah selepas kesihatannya semakin merosot.

“Selepas saya diserang Bell’s Palsy, saya tidak mampu berge­rak dengan baik. Saya buat rawatan susulan tetapi mengambil tempoh yang lama untuk pulih,” katanya.

Menurut Aida, ramai lagi kenalan artis di Johor yang pernah popular pada eranya juga  mengalami kehimpitan hidup.

Lebih menyedihkan, mereka bukan sahaja tidak mendapat perhatian daripada persatuan-persatuan seni tanahair, malah tidak pernah sekali pun diberi peluang melakukan persembahan walaupun bukan dipentas mewah.

“Manusia memang kena terima masa kejatuhan.

“Tetapi apa salahnya kami. Sepatutnya orang-orang lama juga wajar diberi peluang sekali-sekala untuk buat persembahan dan diberi sedikit bayaran,” katanya. – MalaysiaGazette