Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan AMK, Wanita dan Cabang PKR Lembah Pantai di Hotel Signature, Bangsar.Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 APRIL 2021

KUALA LUMPUR – Dakwaan Pas kononnya langkah Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR menyebabkan para  pengundi tertipu pada PRU-14 lalu tidak benar.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sebaliknya menegaskan, ia bukan satu penipuan untuk mengelirukan pengundi khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Tidak timbul isu ditipu, bukan ditipu kerana logo, ditipu mungkin watak-watak dan sebagainya.

“Saya percaya bagi pengundi-pengundi di Selangor dan Kuala Lumpur serta penyokong Keadilan rata-rata merasakan mungkin berpuas hati,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang Lembah Pantai hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Hulu Langat, Muhammad Hassan Aszeme yang mendakwa Pas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Langat pada PRU-14 kerana permainan parti lawan memanipulasi isu termasuk penggunaan logo yang mengelirukan pengundi.

Dewan Pemuda Pas Hulu Langat mendedahkan ramai pengundi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua telah menyesali tindakan itu dan berasa tertipu dengan memangkah logo PKR namun yang sebenarnya untuk calon DAP.

Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan tindakan itu juga sebagai langkah yang strategik dan boleh memenangkan PH sekali lagi dalam PRU-15 akan datang.

“Malah kita dengar di peringkat akar umbi ramai berkata mereka mahu melihat perkara sama untuk PRU-15. Tapi itu bukan keputusan untuk saya buat, pimpinan PH dan Keadilan akan putuskan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan mana-mana anggota dan ahli Parlimen daripada PKR yang menjadi pengkhianat tidak akan mendapat tempat termasuk menjadi calon walaupun kembali ke pangkuan parti.

“Bagi kerusi-kerusi yang ahli Parlimen telah menjadi pengkhianat, mengikut sejarah Keadilan itu sendiri, mana-mana ahli Parlimen telah mengkhianati parti jarang sekali dapat jadi ahli Parlimen semula selepas itu.

“Jadi selamat berjaya kepada mereka semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette