Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan bersedia dengan pelan sokongan sekiranya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memutuskan vaksin AstraZeneca tidak sesuai digunakan di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pakar tempatan akan bermesyuarat Selasa ini bagi mengetahui lebih lanjut data klinikal vaksin berkenaan susulan laporan mengenai kesan sampingan vaksin itu di United Kingdom (UK).
“Kita ambil maklum bahawa terdapat beberapa kes dalam berita dan kes dikenal pasti daripada badan kawal selia perubatan UK berkenaan pembekuan darah.
“Kalau terpaksa tangguh AstraZeneca atau mendapati bahawa ia tidak sesuai (digunakan), beberapa perancangan lain termasuk pelan sokongan akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad hari ini.
Sebelum itu, Khairy mengadakan mesyuarat tertutup bersama Hasni serta ketua agensi awam negeri itu.
Semalam, badan kawal selia perubatan UK mengesahkan tujuh daripada 30 individu yang mengalami pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca meninggal dunia.
Kenyataan berhubung kes kematian itu dikeluarkan selepas beberapa negara Eropah mengambil keputusan menghentikan sementara suntikan vaksin AstraZeneca selepas ia berpotensi menyebabkan pembekuan darah.
Khairy berkata, beberapa pelan sokongan sudah dilihat termasuk tawaran dos tambahan daripada Pfizer-BioNTech.
“Malaysia terima tawaran daripada Pzifer untuk tambah 12.8 juta dos kepada apa yang sudah ditempah kira-kira 32 juta dos,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga akan menerima tambahan hampir 1.4 juta dos vaksin menerusi program pengedaran vaksin Covid-19 antarabangsa (COVAX) pembelian menerusi Pertubuhan Kesihatan Dunia.- MalaysiaGazette