SEGAMAT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji punca kurangnya jumlah rakyat yang gagal mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sehingga hari ini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia yang mendaftar menerusi aplikasi mySejahtera.

Angka itu hanya mewakili kira-kira 30% penduduk.

“Saya tak puas hati, jadi kita nak tahu adakah kempen kurang atau orang ramai takut atau tak tahu bagaimana cara.

“Ini kerana angka 7.6 juta itu memang tidak memuaskan dan masih tahap rendah.

“Sebenarnya dalam program kebangsaan ini kita sasar 70 hingga 80 peratus,” katanya selepas merasmikan program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 Lindungi Diri, Lindungi Semua Peringkat Daerah Segamat di sini hari ini.

Kadar pendaftaran untuk mendapatkan vaksin yang kurang memberangsangkan ketika ini mungkin juga berpunca daripada sikap tunggu dan lihat dalam kalangan rakyat.

Katanya, kebimbangan berhubung kadar pendaftaran semasa akan mendatangkan kesulitan kepada kerajaan di saat-saat akhir ketika proses pemberian suntikan tersebut.

“Ini yang kita bimbang kerana bila pendaftaran kurang kita terpaksa pergi ke sana dan pergi ke sini,”katanya

Untuk itu,  Adham berkata ,KKM juga akan menggunakan ejen setiap daerah sebagai perantara kepada masyarakat untuk memberi maklumat tepat mengenai suntikan vaksin berkenaan.

Selain itu, pendaftaran kaunter secara manual di klinik kesihatan awam dan swasta serta pejabat kesihatan telah pun dibuka bagi memudahkan urusan individu yang kurang berupaya menggunakan teknologi.

Adham memberitahu, sejak program vaksinasi Covid-19 dilancarkan, jangkitan virus ini dalam kalangan petugas KKM juga menunjukkan penurunan.

“Untuk data petugas kesihatan KKM yang terkena jangkitan jika dilihat sangat menunjukan kejayaan dan berkurangan,” katanya.

Menurutnya, setakat bulan lalu, sejumlah 6,087 kakitangan petugas hadapan KKM dijangkiti Covid-19.

Angka itu termasuk 2,276 orang  jururawat, pegawai perubatan (816), pembantu perawatan kesihatan (537),  penolong pegawai perubatan (534), pegawai perubatan siswazah (340), pakar perubatan (133) dan lain-lain (1,451), katanya.

Menurutnya, kejayaan ini menunjukkan penanda aras penularan jangkitan itu dapat dikurangkan pada fasa kedua nanti. – MalaysiaGazette