Keadaan pintu masuk bank di Indahpura yang pecah.

KULAI – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana dipercayai memecahkan pintu utama sebuah bank di Indahpura, di sini, pada Jumaat lalu

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, anggota dari Balai Polis Kulai menahan lelaki tersebut di bandar ini pada jam 9.30 malam tadi.

“Tiada senjata ditemukan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan selanjutnya.

Pemeriksaan di lokasi kejadian bersama-sama kakitangan bank mendapati terdapat kesan darah yang dipercayai milik suspek.

“Tiada sebarang kehilangan atau kecurian dilaporkan.

“Hasil siasatan awal suspek disyaki mempunyai masalah mental.

Punca kejadian masih disiasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) akan diteliti untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette pagi ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sehingga enam kali sebatan.