KUALA LUMPUR – Pusat Asasi Universiti Malaya (PASUM) berjaya merangkul gelaran johan Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam 2021 bagi kategori Bahasa Melayu, manakala Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) merupakan johan kategori Bahasa Inggeris.

Pertandingan debat ini dianjurkan oleh Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam. Pertandingan ini dijalankan secara dalam talian menerusi penggunaan aplikasi ZOOM bagi menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengamalkan norma baharu.

Pertandingan yang dijalankan selama 3 hari bermula 26 – 28 Mac 2021 mempertaruhkan
saingan antara 53 pasukan yang disertai seramai 212 pelajar Asasi/Matrikulasi seluruh
Malaysia. Johan setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1000, manakala naib johan mendapat RM700.

Bagi kategori Bahasa Melayu, pasukan PASUM (A) bertindak sebagai pembangkang
diwakili oleh Muhammad Shah Iqbal Mohd Shahrol Nizam, Ali Hydar Hafizi, Muhammad
Hazeeq Aiman Zainal ‘Abidin dan Awangku Haziq Fadli Awangku Masparbu berjaya
menewaskan pasukan dari CFS UIAM (B) dengan usul “Dewan Ini Percaya Masalah
Rasuah di Malaysia Ibarat Telur di Hujung Tanduk”

Manakala bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) yang
beraksi sebagai kerajaan diwakili oleh Carlos Sebastien John, Imran Zamil Najwah, Then
Khai Yang dan Rahul a/l Manavaran berjaya mengatasi pasukan pendebat dari Pusat Asasi
UiTM Dengkil dengan usul “This House, as The Ministry of Health Would Not Allow
Unvaccinated Children to Attend Schools”.

Gelaran Pendebat Terbaik Kategori Bahasa Melayu milik Muhammad Shah Iqbal Mohd
Shahrol Nizam (PASUM A), manakala Imran Zamil Najwah (KMJ) merupakan pendebat
terbaik untuk kategori Bahasa Inggeris. Pendebat terbaik masing-masing menerima hadiah wang tunai RM100.

“Pertandingan ini diharap dapat memartabatkan perdebatan sebagai wadah berdiskusi
secara profesional seterusnya memupuk sifat-sifat kepimpinan, profesionalisme dan
semangat kerja berpasukan.

“Pertandingan debat bukan sekadar soal menang atau kalah. Pengalaman adalah pelajaran yang paling berharga yang perlu dibawa kembali. kata  Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. – MalaysiaGazette