KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemilik akaun Facebook, Junaidah June bakal berdepan tindakan akibat perbuatannya didakwa menyebarkan berita palsu mengenai pengambilan dos vaksin Covid-19 membabitkan anggota polis di Gerik, Perak.
Polis Perak kini sedang memperhebatkan usaha menjejaki pemilik akaun Facebook tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai Junaidah yang menyatakan berlaku kematian terhadap seorang warga polis di Daerah Gerik iaitu Koperal Rakmin Yusoff akibat pengambilan vaksin dos ke-2 Pfizer-BioNtech di media sosialnya.
Katanya, polis mengesahkan berita kematian pegawai rendahnya yang ditularkan Junaidah tidak benar dan palsu.
“Penama (koperal) tersebut sebenarnya sedang menerima rawatan di Hospital Taiping serta disahkan mengalamami masalah jantung tersumbat.
“Kini dia berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan stabil dan penama tersebut juga akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mior Faridalathrash, tindakan tegas akan diambil terhadap Junaidah kerana melakukan perbuatan tidak bertanggungjawabnya menyebarkan berita palsu mengenai kematian warga polis akibat daripada penerimaan vaksin covid-19.
Katanya, Junaidah juga telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat untuk menerima vaksin Covid-19.
“Keluarga penama (koperal) juga menerima kesan akibat daripada sikap yang tidak bertanggungjawab ini oleh Junaidah. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk pihak yang bertanggungjawab terhadap kesahihan maklumat yang ditularkan,” tegasnya.
Dalam berita palsu yang ditularkan semalam, Junaidah mendakwa kononnya koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Pondok Polis Lawin Gerik, Perak itu dimasukkan ke Wad Kecemasan Hospital Gerik dan meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin.
Suspek turut menyertakan nama waris anggota polis berkenaan iaitu nama isteri anggota berpangkat rendah itu.- MalaysiaGazette