Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – “PPBM (Bersatu) berminat lagi ke nak masuk MN?,” tanya Datuk Mohd Puad Zakarshi.

Ini kerana, dakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, semua pihak tahu Bersatu berusaha memecah belahkan MN (Muafakat Nasional).

Katanya, kalau PPBM ikhlas sudah tentu dari awal lagi Perikatan Nasional (PN) dibubarkan.

Lagipun mana mungkin Bersatu mahu sertai MN kalau Bersatu bukan dominan di dalamnya, kata beliau.

Lantaran itu, katanya, perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan sudah tidak relevan.

”Buang masa kerana PPBM pun tahu UMNO sudah putuskan di PAU 2020 untuk keluar dari Kerajaan PN.

”Lebih baik PPBM tanya bila darurat mahu ditamatkan dan minta Presiden PPBM jawab bila Parlimen akan bersidang,” ujarnya sambil meminta Wan Saiful bertanya banyak persoalan kepada Muhyiddin.

Persoalan itu termasuk apa hala tuju ekonomi negara, kenapa pengundi 18 tahun tidak dilaksanakan.

”Ada juga soalan mudah, kenapa tidak pakai mask bila masuk Hotel Zenith JB?,” soalnya.

Semalam, Wan Saiful dalam kenyataanya bertanya mengenai undangan penyertaan Bersatu ke dalam MN.

“Tahun lepas Bersatu dijemput menyertai MN. Kita bincang mendalam jemputan ini dan akhirnya kita bersetuju menerima jemputan tersebut. Bukan kita minta masuk. Kita dijemput masuk.

“Bila kita dah balas surat dan nyatakan persetujuan, tidak ada respon rasmi mengenai status selanjutnya. Saya sendiri tertanya-tanya apa status jemputan itu sekarang,” katanya dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette