Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan pada sidang media Persidangan Perubatan Tentera Malaysia 2021 (MMMC) di Wisma Perwira, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 APRIL 2021

KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 iaitu Pfizer Bio-NTech setakat ini.

Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr. Md Amin Muslan berkata, ia merupakan jumlah daripada keseluruhan 50,000 anggota yang dijanjikan suntikan vaksin untuk peringkat pertama.

“Saya boleh katakan bahawa 80 hingga 90 peratus daripada jumlah vaksin yang kita terima sudah disuntik kepada pegawai dan anggota ATM kerana ia bergantung kepada jumlah vaksin yang diberikan kepada ATM.

“Alhamdulillah, kita dijanjikan dalam lebih kurang 50,000, sudah disuntik setakat ini lebih 30,000 orang dan kesemuanya menerima dos PfizerBio-NTech,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Perubatan Ketenteraan 2021 di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan hari ini.

Persidangan itu telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Md. Amin menambah pemberian vaksin akan terus diperluaskan lagi dan ia dalam perancangan ATM.

Katanya, Pegawai Bahagian Perubatan Kesihatan ATM menganggotai jawatankuasa vaksin dan taskforce program imunisasi untuk melaksanakan program tersebut.

“Kalau kita lihat, ATM telah mendaftarkan seramai 170,000 pegawai anggota tentera untuk diberikan vaksin PfizerBioNTech.

“Namun ia tertakluk kepada aliran pembekalan vaksin dan ia amat mencabar walaupun ambil kontrak selain kemampuan syarikat mengeluarkan vaksin juga perlu diambil kira,” tegasnya.-MalaysiaGazette