Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan rayuan kes sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd (SRC) hari ini.

Penangguhan itu dimohon oleh peguambela yang mengetuai rayuan SRC, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendedahkan ada bukti penting bagi kes berprofil itu yang kini ‘dipegang’ oleh Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Kata Muhammad Shafee, pihaknya memerlukan masa memandangkan bukti-bukti itu juga mempunyai hubungkait dengan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Maklum peguam itu, pihaknya mempunyai bukti tambahan untuk dimasukkan dalam rayuan mereka termasuk keterangan berkaitan keluarga Zeti Aziz.

Jelasnya, rayuan tangguhan itu dibuat bagi mendapatkan dokumen tambahan berkaitan 1MDB itu dari dua negara tersebut, 1MDB pernah menjadi syarikat induk SRC.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram membantah sambil menyatakan permohonan tersebut tidak dibuat secara rasmi sebelum berhubung dokumen serta bukti tersebut.

“Kita tidak bersetuju dengan permohonan penangguhan ini. Pembelaan berharap dapat dokumen bukti itu dalam masa sebulan tapi tidak pasti juga.

“Mahkamah tidak boleh terus menunggu seperti ini,” katanya di hadapan Hakim Abdul Karim bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera semasa prosiding hari ini.

Antara kotak-kotak yang mengandungi dokumen mengenai kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2021.

Abdul Karim kemudian menolak permohonan tersebut dan mahu prosiding bersambung hari ini tanpa apa-apa alasan atau permohonan tambahan.

“Kita sebulat suara dalam hal ini. Tiada alasan yang munasabah untuk menangguhkan pendengaran. Kami tidak membenarkan permohonan untuk penangguhan,” katanya sebelum prosiding bersambung.

Najib telah mengemukakan sebanyak 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.

Antara alasan yang dikemukakan, hakim bicara terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah dalang sebenar dalam kes yang dihadapinya.

Beliau kemudian dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Sebelum ini, pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Najib.

Mohd Nazlan juga menjatuhkan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan. 

Namun Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Beliau ketika ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan ini selesai. 

Prosiding masih berjalan ketika ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SRC International: Najib mulakan rayuan