Fadh Majid kini muncul dengan single keduanya berjudul Tak Mungkin Mendua.

KUALA LUMPUR – Nama Fadh Majid pernah muncul sebagai peserta underdog di Big Stage tahun lalu namun dia mencuri perhatian ramai dengan kreativiti persembahan serta tona suara maskulin yang sudah semakin pupus dalam kalangan penyanyi lelaki.

Walapun rezeki tidak memihak kepadanya, Fadh Majid berjaya melancarkan single keduanya, Tak Mungkin Mendua yang menyusul sesudah setahun single pertamanya, Bukan Takdirku dilancarkan.

Vokal lunaknya yang berpadu dalam melodi kemas telah dikomposisikan oleh komposer terkenal, Faizal Maas atau Ajai dan diperindahkan lagi dengan sentuhan puitis Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Dilahirkan dengan nama Muhammad Fadhlullah Abdul Majid, anak jati kelahiran Melaka ini berkata, Tak Mungkin Mendua adalah sebuah karya yang menceritakan tentang kesetiaan seorang lelaki terhadap pasangannya yang lebih tahu menghargai dirinya jika dibandingkan cinta pertama beliau.

“Percintaan seumpama ini cukup sinonim dan seringkali terjadi dalam dunia nyata. Meskipun ia sebuah kisah klise, namun mesej positif terus diterapkan di mana pentingnya kesetiaan dan menghargai insan yang bersama kita tatkala susah atau senang,” kata pemuda berusia 28 tahun ini.

Fahd Majid pernah menjadi peserta dalam program Big Stage tahun lalu.

Turut mengasah bakat dalam bidang lakonan, Fadh Majid mengakui pembabitan menerusi sebuah program realiti tidak lama itu memberikannya lebih banyak ruang menyerlahkan bakat.

Peluang membintangi beberapa buat drama dan telemovie terbitan syarikat televisyen popular tempatan merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan buatnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Todak Muzik, Ikmal Fareeq berkata, Fadh Majid memiliki suara unik yang jarang-jarang ada di Malaysia.

Itu adalah salah satu faktor utama kenapa Todak Music melamar beliau sebagai artis di bawah naungan Todak Music.

“Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri muzik tanahair, saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap lagu ini, semestinya kerana ia sebuah karya sentuhan Ajai dan Fedtri Yahya.

“Ditambah pula dengan gaya nyanyian Fadh Majid yang unik, bahkan berharap lagu ini dapat diterima semua dan mendapat sambutan hangat’,” katanya.

Bagi Pengurus A&R Todak Muzik, Kamarul Arifin atau Arul, lagu terbaru dari Fadh Majid kali ini sedikit berbeza dari biasa.

Pemilihan genre kali ini diselitkan elemen fusion antarabangsa namun tetap mengekalkan melodi asal citarasa melayu agar tetap boleh diterima oleh pencinta muzik tempatan.

Dalam pada itu, Tak Mungkin Mendua kini boleh didengari di semua platform penstriman dan boleh dimuat turun menerusi Apple Muzik serta dijadikan nada dering di semua Telco. Lirik Video boleh ditonton menerusi saluran YouTube Todak Muzik. – MalaysiaGazette