Peguam, Tan Sri Shafie Abdullah hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan perbicaraan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Peguambela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diingatkan supaya menggunakan perkataan yang sopan apabila mengkritik  penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ketika menegur peguam berkenaan berkata, Shafee tidak perlu menggunakan ayat dan perkataan kasar ketika memberi hujah berkenaan penghakiman yang dibuat Nazlan.

“Tolong guna perkataan yang sopan untuk tunjukkan apa kesilapan beliau. Tidak perlulah guna perkataan seperti  tidak mahir, pertimbangan yang beracun dan lain lagi.

“Awak boleh guna perkataan yang lebih baik,” kata yang mengetuai panel tiga hakim.

Hari ini merupakan hari kedua prosiding rayuan Najib yang disabit bersalah dan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Terdahulu peguambela bekas Perdana Menteri itu berkata, Nazlan membuat penghakiman secara berat sebelah.

Pada 30 Julai lalu, Najib memfailkan notis rayuan selepas disabitkan bersalah oleh Nazlan menerusi dakwaan melakukan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.-MalaysiaGazette