Hanafi Zulkapli. Foto FIKRI YAZID, 3 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mendahului usaha membanteras jenayah rasuah di negara ini, apatah lagi membabitkan perolehan dan projek kerajaan yang bernilai berbilion ringgit.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kepada rakyat, semua parti komponen PN perlu tegas dan menjadi pendahulu dalam menangani amalan rasuah yang telah berkurun bertapa di dalam sistem kerajaan.

“Inilah masanya kerajaan PN mempamerkan kualiti pentadbiran yang bebas rasuah melalui para menteri dan timbalan menteri yang kini menjadi mata perhatian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan tengah malam tadi sebuah agensi kerajaan kerana disyaki terbabit sindiket kartel tender projek yang ditumpaskan.

Menurut sumber, lelaki berusia 38 tahun bekerja sebagai juruukur bahan Gred 48 itu dipercayai terbabit kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi projek ditawarkan agensi berkenaan.

Katanya, suspek disyaki menerima rasuah bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek, kepada ketua sindiket bertujuan memudahkan penyediaan dokumen tender.

Dalam pada itu berita tangkapan kartel yang memonopoli tender kerajaan hingga mencecah RM3.8 billion amat mengejutkan malah, apatah lagi mereka menjalankan kerja hina itu sejak tahun 2014.

“Pemuda Pas Selangor mengucapkan jutaan tahniah atas tangkapan oleh pihak SPRM dan menegaskan tangkapan ini. Mungkin ini adalah permulaan kepada kebongkaran banyak lagi amalan rasuah yang melibatkan projek-projek tender kerajaan apatah lagi amalan ini telah berlaku terlalu lama,” katanya.

Menurut Hanafi, tangkapan itu membuka mata semua rakyat bahawa amalan rasuah terlalu memberi kesan negatif yang cukup besar dalam pembangunan negara.

“Ia pastinya akan merencat segala kerja pembangunan negara projek tidak berkualiti akibat daripada suapan-suapan kepada kaki rasuah untuk terus mengecapi kehidupan mewah, tanpa mengambil kira kesusahan hidup rakyat,” katanya.

Pas, katanya sedia mendukung usaha membasmi gejala rasuah yang membarah dalam kalangan ahli-ahli politik, kakitangan pentadbiran kerajaan serta kartel rasuah yang menjadi barah kepada negara.

“Pemuda Pas Selangor juga bersedia menjadi pendahulu dalam apa juga program penerangan yang mampu mewujudkan sebuah sistem mencegah rakyat daripada terlibat dalam aktiviti rasuah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast