Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Kajang sedang menyiasat laporan seorang wanita yang mendakwa diganggu seorang lelaki ketika berada di dalam kereta berhampiran Parking Condo You Vista Persiaran Suntex, Cheras Kajang Selangor kelmarin.

Mangsa, seorang kerani syarikat swasta mendakwa ketika meletakkan kenderaan, dia telah didatangi lelaki yang menunggang motosikal berhampiran tingkap keretanya.

Lelaki itu dikatakan seperti hendak bertanya sesuatu tetapi percakapannya tidak jelas.

“Suspek kemudiannya cuba untuk membuka seluarnya tetapi apabila menyedari mangsa sedang merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit dia membatalkan hasratnya.

”Suspek kemudiannya mengambil satu objek daripada dalam bakul motorsikalnya yang dipercayai batu lalu membaling ke arah cermin tingkap pemandu kereta mangsa dan menyebabkan ia pecah,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan dalam satu kenyataan di sini.

Wanita berusia 24 tahun itu turut mendakwa suspek cuba merampas telefon bimbitnya tetapi tidak berjaya kerana menjerit dan suspek melarikan diri.

Mangsa mengalami kecederaan ringgan ditangan kanan.

Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Rahmad bin Abdul Aziz di talian 019-369 3083.

Kes disiasat di bawah seksyen 323/427 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun dan denda. – MalaysiaGazette