Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berucap pada Majlis Perasmian “Future Hospital Strategy and Development Forum” di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Keseluruhan reka bentuk infrastruktur fizikal hospital baharu perlu diubah pada masa depan bagi memastikan keberkesanan menangani penularan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu melibatkan norma baharu sanitasi dan kebersihan persekitaran di hospital bagi mengelak risiko jangkitan sesama pesakit.

“Maka dengan adanya reka bentuk baharu termasuk bangunan tinggi yang kita telah pun membenarkan dibina di negara ini bagi mengelak penularan pandemik di dalam hospital itu dan juga jangkitan sesama pesakit.

‘Kita juga perlu melihat kepada eleman-elemen pencetus iaitu di mana setiap fasiliti perlu ada kawasan di mana suhu boleh dikesan supaya kita mengasingkan kes-kes bergejala lebih awal daripada sebelum mereka masuk ke fasiliti-fasiliti kesihatan lain dan menambah risiko penularan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Forum Pembangunan dan Strategi Hospital Masa Hadapan 2021 di sini hari ini.

Hadir pada majlis Presiden Persatuan Hospital Swasta, Datuk Dr. Kuljit Singh.

Terdahulu dalam ucapannya, Adham berkata, insfrastruktur fizikal seperti bangunan dan kelengkapan peralatan perubatan adalah penting untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberi sentiasa efektif dalam menjamin kesihatan rakyat.

Menurutnya, bagi tujuan itu, program kesihatan akan mengoptimumkan pengurusan sumber menerusi fasiliti, peralatan dan amalan kewangan.

Dalam satu perkembangan berkaitan, katanya pada tahun lalu iaitu sepanjang 2020 jumlah lawatan pesakit ke klinik dan Hospital kerajaan meningkat secara memeranjatkan iaitu sebanyak 77 juta pesakit.

Beliau mengakui pandemik Covid-19 turut menyumbang kepada peningkatan angka tersebut iaitu sebanyak 77 juta pesakit melawat klinik dan hospital kerajaan pada 2020 berbanding 17 juta pada tahun 2008.

” Angka itu termasuklah pesakit yang melawat secara berulang alik 3 hingga 4 kali ke klinik dan hospital kerajaan tahun lalu.

“Ini antara bukti kepercayaan dan keberkesanan fasiliti kesihatan kita yang berkembang baik sekaligus anjakan lebih 4.5 ganda jumlah pelawat itu memaksa perlunya perubahan pada reka bentuk hospital baharu beserta teknologi komunikasi berkesan bagi mengelak kesesakan pesakit selepas ini. – MalaysiaGazette