Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz. Foto HAZROL ZAINAL,.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, rayuan untuk membatalkan hukuman penggantungan keahliannya selama enam tahun bukan membuktikan dia bersalah.

Menurutnya, ada terdapat kelompongan dalam pertuduhan ke atas dirinya yang dikatakan mengkritik dan memfitnah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Saya merayu sebab saya rasa proses itu tidak betul. Lembaga Displin tidak tengok betul-betul fakta dan hujah saya.

“Kalau tengok betul-betul fakta dan hujah saya daripada segi pengaduan itu dibuat yang penuh flaws (kelompongan), hilang merit dan dibuat oleh pihak yang tidak ada locus standi malah ada berkepentingan lagi di Putrajaya.

“Patutnya awal-awal lagi aduan itu ditolak tapi tengok pada fakta kes, cuma saya dimaklumkan Lembaga Displin bentangkan pada mesyuarat pengurusan selepas itu dan bawa pula ke mesyuarat MKT yang memutuskan saya digantung,” katanya dalam siaran langsung Facebook The Malaysian Insight berjudul “UMNO menuju PRU15, apa yang terbaik? hari ini.

Pada 27 Mac, Tun Faisal yang merupakan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas digantung keahliannya dari UMNO selama enam tahun.

Perkara itu disahkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pada 19 Februari lalu diminta mengemukaan surat tunjuk sebab dan diarah hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO.

Arahan untuk menghadiri tribunal pada 25 Februari lalu, bagi menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, dimaklum menerusi panggilan telefon dan WhatsApp oleh Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO.

Pada Khamis lalu, Tun Faisal merayu kepada Presiden parti dan ahli MT supaya meneliti dan membaca setiap isi surat rayuan yang telah dikemukakan beliau.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada perkembangan terkini mengenai rayuan yang dikemukakan beliau.

“Setakat ini tidak ada jawapan tapi saya tahu mungkin akan ada mesyuarat pengurusan esok, jadi saya harap dalam surat rayuan itu apa yang saya bagitahu adalah jangan bergantung harap kepada keputusan Lembaga Displin kerana ia banyak kelemahan daripada segi yang pimpin Lembaga Dispilin bukan orang yang berlatark belakang undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun Faisal minta Presiden, ahli MKT teliti, baca surat rayuan