Jabatan Penjara Malaysia membenarkan perjumpaan dan lawatan ahli keluarga terhadap penghuni Penjara Kajang namun terikat dengan syarat dan garis panduan ketat. Foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan perjumpaan dan lawatan ahli keluarga terhadap penghuni Penjara Kajang namun terikat dengan syarat dan garis panduan ketat.

Ia wajib dipatuhi oleh ahli keluarga penghuni semasa perjumpaan.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, langkah ketat itu dilaksanakan bagi mengawal penularan virus Covid-19.

“Pelawat perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mengadakan lawatan ke atas penghuni penjara,” kata kenyataan yang sama.

Pihak penjara juga menyediakan empat kaedah membuat tempahan iaitu melalui Sistem i-Visit di laman web ivisit.prison.gov.my, Panggilan telefon atau pun e-mel atau surat secara bertulis kepada Penjara Malaysia.

Pihaknya juga akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat oleh ahli keluarga penghuni penjara berkenaan.

“Pendaftaran terbuka dan pelawat berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan sama sekali melakukan perjumpaan buat masa ini,” katanya.

Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia: www.prison.gov.my.- MalaysiaGazette