Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan masalah bekalan air selut di Baling datang dari perkhidmatan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Sebaliknya beliau menegaskan, bekalan air selut itu datang daripada ‘air paip masyarakat’ yang menjadi keruh akibat musim hujan di negeri tersebut.

“‘Air paip masyarakat’ ini biasanya terletak di atas bukit dan ia adalah inisiatif daripada penduduk kampung sendiri bukan dari SADA.

“Malah isunya di sini kolam tadahan air itu tidak diselenggara dengan baik menyebabkan sampah dan selut masuk ke dalam sistem perpaipan.

“Kalau musim hujan memang ‘air paip masyarakat’ ini akan keruh dan dakwaan kata setiap hari itu saya tak percaya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.

Semalam tular di media sosial apabila lebih 100 penduduk di Kampung Tanjung Pari dan Kampung Batu Lapan di Baling mendakwa terpaksa menggunakan air selut untuk kegunaan harian.

Penduduk mendakwa ia berpunca daripada aktiviti pembalakan yang berleluasa di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan membantu membaiki dan menaik taraf paip yang rosak bagi kemudahan penduduk. – MalaysiaGazette