Penduduk yang hadir pada sidang media penduduk berkenaan isu perobohan Kedai di Kg Manickam Bangi Lama oleh MPKj di Bangi,Selangor. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

BANGI – Seramai 13 pekedai Jalan Bangi Lama di sini hari ini mengeluh dengan tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang bertindak merobohkan kedai mereka semalam.

Rata-rata mereka memohon MPKj memberikan alasan munasabah mengapa gerai mereka dirobohkan memandangkan janji pihak berkuasa tempatan (PBT)  itu untuk memberikan kawasan lain untuk mereka tidak dilaksanakan.

Penduduk, Abu Bakar Mohd. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

Bagi Abu Bakar Mohd, 59, pihaknya diberikan jaminan kedai mereka tidak dirobohkan namun tindakan berbeza dilakukan oleh PBT berkenaan semalam.

“Langkah terakhir saya nak pajak tapak perniagaan sudah isi borang tapi tidak diluluskan sampai sekarang. Kami diberikan janji bahawa kedai kami tidak dirobohkan tapi semalam pihak berkuasa turun dan lakukan operasi bersepadu.

“Kami mohon penjelasan dan pampasan kehilangan pendapatan sehingga ditempatkan semula,” katanya ketika ditemui wartawan di tapak perniagaan yang dirobohkan itu hari ini.

Magalam Subramaniam. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

Seorang tukang jahit, Magalam Subramaniam, 66, pula berkata pihaknya terkejut bila mengetahui tapak perniagaan yang disewa beliau adalah tanah rizab kerajaan.

Katanya, keadaan menjadi lebih sulit apabila beliau menyewa tempat itu daripada pemilik tanah di sebelah tanah rizab dan tidak pernah culas membayar sewa bulanan.

“Masa kita sewa kedai ini, mana kita tahu tempat ini adalah tanah rizab kerajaan. Setiap bulan kita bayar sewa kepada tuan tanah (bersebelahan).

“Saya tahu tapak ini adalah rizab kerajaan pada 29 Mac tahun lalu,” katanya.

Pachiappan Ittiapan. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

Dalam pada itu, seorang pemilik restoran di sini, Pachiappan Ittiapan, 63, rasa tertipu dengan pemilik tanah itu kerana meminta wang sewaan tapak sedangkan tapak beliau berada dalam tanah rizab kerajaan.

“Bila saya berhenti bayar sewa kedai, baru kita tahu yang pemilik lama sudah jual kepada pemilik baharu. Itu sebab saya buat aduan kepada mahkamah sebab 60 peratus tanah itu atas nama pemilik dan 40 peratus lagi adalah tanah rizab kerajaan.

“Jadi selama ini saya bayar sewa kepada pemilik dan ditipu. Jadi kami mahu satu tempat baharu untuk berniaga, itu sahaja,” tegas beliau.

Semalam, sebanyak 12 daripada 14 lot kedai milik peniaga berpendapatan rendah di Kampung Manickam di Bangi Lama dirobohkan oleh MKPj.

Difahamkan, sebanyak 12 lot kedai itu dirobohkan pihak penguat kuasa PBT Selangor itu tanpa penyelesaian pemindahan ke tapak alternatif.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S. Arutchelvan pula berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri, Sungai Ramal, Mazwan Johar memberitahunya operasi perobohan tidak akan dijalankan namun ia tetap dilakukan semalam. – MalaysiaGazette