Selebriti, Datuk Sri Siti Nurhaliza pada Majlis Pelancaran Produk Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun dan Yapeim di Moza Restaurant, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih awal Ramadan ini untuk melahirkan cahaya mata kedua pada awal Ramadan ini.

Siti berkata, beliau sudah menghentikan semua aktiviti untuk berehat sementara menunggu bersalin.

“InsyaAllah pada bulan Ramadan yang mulia ini, saya akan melahirkan cahaya mata kedua ini pada awal Ramadan.

“Hari ini saya gigihkan juga untuk hadir ke sini bagi meyelesaikan beberapa perkara, kerana ini merupakan tanggungjawab saya untuk berkongsi manafaat dengan masyarakat di luar sana

“Saya berharap agar semua di luar sana mendoakan saya semoga proses bersalin berjalan dengan lancar dalam beberapa hari sahaja lagi,” ujarnya pada majlis pelancaran Wafer Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

Pada majlis itu YaPEIM memperkenalkan wafer emas 999 seberat satu gram dan lima gram selain dinar emas seberat 4.25 gram.

Menurut siti, keluaran YaPEIM Gold itu merupakan langkah untuk menggalakkan masyarakat, terutama dalam kalangan peminatnya, untuk menjadikannya sebagai koleksi peribadi, sekali gus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.

“Pihak YaPEIM mensasarkan jualan 30,000 keping bagi varian satu gram, manakala 3,000 keping bagi edisi satu dinar dan 3,000 keping bagi edisi lima gram secara pra tempahan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Selebriti, Datuk Sri Siti Nurhaliza pada Majlis Pelancaran Produk Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun dan Yapeim di Moza Restaurant, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 7 APRIL 2021.