PEKAN –  Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan kadar zakat fitrah pada tahun ini pada RM7 dan menggalakkan pembayar menunaikannya melalui atas talian.

Kadar tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, pembayaran atas talian boleh dibuat menerusi ezakat.muip.gov.my dan aplikasi PahangGo.

Tambah beliau, kaedah bayaran melalui amil di masjid dan lokasi setempat adalah dibenarkan dan ia perlu mematuhi Prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dan pematuhan kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan 2 (PKPP) yang sedang berkuatkuasa, pihak MUIP juga menyediakan garis panduan kepada amil dan penunai zakat.

“Umat Islam di negeri ini dinasihatkan membayar zakat hanya kepada amil yang telah ditauliahkan.

“Seramai 942 amil ditauliahkan ditempatkan di kaunter kutipan zakat dalam masjid dan tempat besesuaian bermula selepas Subuh sehingga sebelum Maghrib,”  katanya pada sidang media penetapan kadar zakat fitrah Pahang di Kompleks Islam Sultan haji Ahmad Shah, Pekan.

Pada tahun lalu, sebanyak RM1,002,407 zakat dikutip melibatkan 6.1 juta pembayar.

Daripada jumlah itu, seramai 688,587 orang membayar zakat secara atas talian dan 323,486 menunaikannya secara tunai.

Dalam pada itu, katanya, sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya sekali, ujarnya. – MalaysiaGazette