lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Wilayah Gombak telah menerima bekalan air sepenuhnya manakala Kuala Lumpur hanya 57 peratus setakat 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor berkata, sehingga jam 6 pagi, sejumlah 66 peratus bersamaan dengan 38 daripada 58 kawasan telah mendapat bekalan air sepenuhnya.

Manakala, sejumlah 20 kawasan di Kuala Lumpur masih belum pulih.

Kawasan yang belum pulih ialah Bukit Bandaraya, Kampung Datuk Keramat, Taman Bandaraya Bukit Bangsar, Kampung Padang Merbok, Taman, Bukit Bintang, Kuala Lumpur City Center 1, Taman Bangsar Baru, Hampshire Park, Kuala Lumpur City Center 2, Taman Lucky, Imbi Parlimen Tasik Perdana Jalan Sultan Hishamuddin, Persiaran Sultan Salahuddin, Tijani dan Jalan Travers Pudu.

Gangguan bekalan air berjadual yang berlaku di Wilayah Kuala Lumpur dan
Gombak berikutan kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju pada 6 April lalu.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

Air Selangor berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air
secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette