IMBAS KEMBALI. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bergambar bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (dua kiri) dan Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (kanan) pada Majlis Pelancaran Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIIMs) yang digunakan Jabatan Imigresen (Imigresen) melibatkan kos lebih RM1 bilion.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, NIISe akan mewujudkan ekosistem penguatkuasaan digital bertunjangkan maklumat lebih tepat dan boleh dipercayai dengan operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dilaksanakan lebih efektif berdasarkan maklumat diperolehi melalui ‘big data analytics’ (BDA) diwujudkan dalam sistem itu.

“Bila sistem-sistem lama telah digunakan sudah tentu ada masalah-masalah berkaitan manusia, bila kita kata begitu walaupun kita boleh upgrade sistem lama tetapi bila kita gunakan sistem yang telah digunapakai oleh ramai anggota maka dia mencari jalan-jalan yang boleh menyebabkan manipulasi antara orang luar dan pegawai kementerian.

“Apabila sistem terlampau lama, orang sudah tahu password dan semuanya telah dikaji. Kita jangkakan sistem ini boleh menjangkau 30 tahun,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan projek NIISe, hari ini.

Sistem baharu ini antara lain dilengkapi penjanaan identiti unik bagi setiap pelawat semasa ketibaan di pintu masuk negara melalui pengambilan biometrik cap jari dan wajah yang akan menyumbang kepada keberkesanan penguatkuasaan secara digital pada masa hadapan.

Hamzah berkata, penggunaan sistem NIISe akan memodenkan perkhidmatan Imigresen melalui aplikasi dengan ciri canggih dan terkini.

Malah katanya, sistem baharu itu akan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan Imigresen, selain mampu mengelak ketirisan hasil kerajaan.

“NIISe adalah sistem keimigresenan lebih canggih, bersepadu dan holistik, dilengkapi teknologi terkini seperti Artificial Intelligence (AI), Internet Of Things (IOT) dan Big Data Analytics (BDA).

“Ianya membuktikan komitmen berterusan kerajaan melalui KDN untuk sentiasa memperkasakansistem keimigresenan negara dari semasa ke semasa, sejajar cabaran semakin kompleks dan rumit.

“Keselamatan adalah agenda utama kerajaan dan KDN bertanggungjawab memastikan semua rakya merasakan benar-benar selamat untuk tinggal dalam negara,” ujarnya.

NIISe adalah sistem menyeluruh dan bersepadu, memanfaatkan teknologi terkini, canggih serta mengoptimumkan pengautomasian bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan keimigresenan memenuhi jangkaan pengguna dan dijangka beroperasi sepenuhnya, pada 2024.

Ia merangkumi 13 modul utama dan enam sokongan, antaranya kawalan imigresen dan stok, penguatkuasaan, perisikan, pasport dan dokumen perjalanan, visa, pas dan permit, kutipan hasil serta pengurusan depot, tahanan, ekspatriat, pekerja asing, keselamatan, perkhidmatan dan pentadbiran. – MalaysiaGazette