Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi mendengar rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan di sini diberitah lebih RM4 bilion milik SRC International Sdn Bhd (SRC) yang merupakan dana persaraan kerajaan mungkin telah dicuri namun sehingga kini tiada laporan polis dilakukan.

Ia dipindah ke akaun-akaun lain tanpa diketahui lembaga pengarah mahupun Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan merangkap Penasihat Emeritus SRC.

Itu antara hujah peguam bela Najib, Harvinderjit Singh ketika prosiding rayuan rayuan penyewelengan dana RM42 juta milik SRC hadapan Datuk Abdul Karim dan dua lagi panel hakim, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Harvinderjit mendakwa kecurian itu mungkin berlaku di luar struktur korporat SRC yang juga pernah menjadi anak syarikat kepada 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) sebelum diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Jelas Harvinderjit, Najib yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Penasihat Emiratus SRC dan bukan ejen yang bertindak mengalih wang sebanyak RM42 juta daripada RM4 bilion milik syarikat itu ke akaunnya.

Berikutan itu, Vazeer Alam bertanyakan kepada Harvinderjit bagaimana transaksi sebanyak itu boleh dilakukan seandainya tidak ada sebarang laporan polis.

“Ketika pemeriksaan balas sebelum ini, bekas Pengerusi SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin tidak tahu tentang wang yang telah keluar itu. Ismee terkejut.

“Hanya Suboh sahaja yang boleh buat laporan polis tetapi beliau tidak tahu tentang wang tersebut manakala Ismee tampak terkejut ketika soal balas,” katanya.

Kata Harvinderjit, Suboh dan bekas Ketua Eksekutif SRC, Nik Faizal Ariff Kamil yang kini hilang adalah penandatangan SRC tetapi pasukan pendakwaan percaya wang berbilion ringgit itu telah dikeluarkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low didakwa telah menggunakan pengurusan kanan SRC serta beberapa pegawai Ambank untuk bersubahat mengeluarkan wang tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu saksi bahawa sebanyak RM4 bilion pinjaman kepada SRC diluluskan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang kemudiannya dipindahkan serta merta ke akaun luar negara.

Wang tersebut dimaklumkan telah dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland dan statusnya belum diketahui.

Berdasarkan dua surat jaminan kerajaan, KWAP meluluskan pinjaman kepada SRC pada 2011 dan 2012 untuk melaksanakan dan melabur dalam projek berkaitan dengan sumber tenaga konvensional dan boleh diperbaharui, sumber asli dan mineral.

Pada Ogos 2011, pinjaman RM2 bilion dilepaskan oleh KWAP kepada SRC dalam empat bahagian berjumlah RM500,000.

Tujuh bulan kemudian, RM2 bilion lagi dilepaskan dalam satu bayaran, tetapi kali ini RM200 juta disimpan sebagai pelaburan modal.

Dakwa Harvinderjit, belum ada sesiapa daripada kerajaan yang hadir ke mahkamah untuk mendedahkan status wang berkenaan.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah.

Ahli Pekan itu didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan, melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.  

Prosiding bersambung pada Isnin ini . – MalaysiaGazette

Rayuan SRC: Harvinderjit sambung hujah

2 Komen

  1. Skop scammer Jolo ni sangat luas, networkingnya merentasi sempadan dan sangat complicated? Ianya jenayah bertaraf antarabangsa abad ini. Biarlah ianya benar2 masak sebelum sesebuah penghakiman dapat diputuskan!

    Ini pandangan orang awam sahaja!

  2. Transaksi wang dari bank ke bank ada dokumentasi lainlah transaksi wang bawah meja macam bersalaman jer.

Comments are closed.