Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa artikel yang beliau tulis mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah pandangannya sendiri dan peringatan kepada kerajaan ketika itu yang kurang berusaha memerangi ancaman rasuah.

Lim berkata artikel itu ditulis pada 2019, sesuai dengan tugasnya sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab dalam membangkitkan dan mengetengahkan isu-isu yang tidak hanya menjadi kebimbangan masyarakat umum tetapi juga dalam memastikan tadbir urus yang baik selaras dengan kedaulatan undang-undang oleh kerajaan ketika itu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau mengetahui mengenai skandal 1MDB daripada liputan media yang meluas di dalam dan luar negara.

Pada waktu itu, plaintif (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) menjawat jawatan Peguam Negara (AG) setelah pemecatan, Tan Sri Abdul Gani Patail. Pada masa pemecatannya, seperti yang dilaporkan, Abdul Gani dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya yang sedang menyediakan pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berkaitan 1MDB.

“Sebagai perdana menteri, Najib berperanan dalam menyingkirkan Abdul Gani sebagai AG dan selaku pendakwa raya yang disusuli pelantikan plaintif sebagai AG,” katanya ketika membaca keterangan saksinya dalam perbicaraan tuntutan saman fitnah oleh Mohamed Apandi  terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar.

Semasa disoal peguam M. Visvanathan yang mewakili Mohamed Apandi sama ada Lim adalah antara pemimpin DAP dan jika beliau memegang jawatan dalam kerajaan Persekutuan pada masa beliau menulis artikel itu dan jika beliau adalah sebahagian daripada pasukan penyiasat dalam skandal 1MDB, Lim berkata: “Tidak”.

Lim juga setuju dengan cadangan peguam bahawa beliau menulis artikel itu kerana tidak menjadi anggota badan penyiasat atau pasukan yang meneliti dokumen penyiasatan.

Ketika ditanya sama ada beliau benar-benar melihat kertas pertuduhan yang didakwa disediakan oleh Abdul Gani pada 2015 terhadap Najib berhubung dengan SRC International Sdn Bhd yang berkaitan dengan 1MDB, Lim menjawab: “tidak”.

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi menyaman Lim dan dalam penyataan tuntutan mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk ‘Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity’ dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau telah terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi AG.

Mohamed Apandi, yang menyandang jawatan AG dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun  2018, mendakwa bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas AG Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am sebanyak RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama