Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, sebaliknya Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pada Selasa ini.
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan empat orang pekerja teknikal syarikat pembekal sistem yang menerima rasuah bagi menggodam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, selain itu, seramai dua orang kakitangan JIM juga ditangkap kerana disyaki bersekongkol.

Empat pekerja teknikal itu berusia antara 35 hingga 39 tahun itu ditahan dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal tersebut telah membawa kepada penemuan beberapa komputer di JIM yang telah dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua orang kakitangan JIM turut ditangkap kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang sama.

Azam berkata, mereka pula berusia antara 34 hingga 42 tahun itu dikenal pasti terlibat dalam membantu sindiket menjalankan aktiviti penggodaman sistem tersebut.

“Dipercayai kesemua kakitangan tersebut turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini.

“Rentetan daripada itu beberapa perkakasan IT dan komputer telah disita daripada pejabat JIM. Turut disita komputer riba dan external hard disk milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan penggodaman sistem.

“Setakat ini, pihak SPRM telah mengenal pasti empat hotel ternama sekitar sini yang telah dijadikan sebagai pusat operasi penggodaman.

“Tangkapan terbaru ini adalah lanjutan dari operasi bersama JIM yang telah dilaksanakan pada 6 April lalu di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah,” ujarnya.

Untuk maklumat, terdahulu sebanyak lima tangkapan telah dibuat terhadap ketua sindiket yang bergelar Datuk dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai JIM.

Azam Baki berkata, sebanyak 147 akaun daripada 30 individu dan 11 syarikat yang berjumlah RM9,977,954.95 juta telah dibekukan.

“Selain itu, dianggarkan sebanyak 30 unit hartanah berjumlah RM11,868,835 dan 66 buah kenderaan berjumlah RM13,691,847 turut disita serta dibekukan yang mana jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM25,560,682.

“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara. Kesemua suspek akan disiasat dalam penglibatan mereka yg bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen. Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam penglibatan mereka,” tegasnya. -MalaysiaGazette