Ketua Polis Selangor, YDH DCP Datuk Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media kejayaan kontinjen polis Selangor menumpaskan gengsterisme dan kumpulan kongsi gelap sejak 2019 hingga Mac 2021 bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. 09 APRIL 2021.

SHAH ALAM –  Satu kumpulan kongsi gelap dikenali Geng 24 Bukit Raja yang terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah terancang berjaya ditumpaskan polis.

Geng berkenaan dikaitkan dengan kes bunuh, peras ugut, ambil wang perlindungan dan pergaduhan.

Mereka bergiat aktif lebih lima tahun lalu di sekitar Lembah Klang dengan merekrut ahli baharu termasuk pelajar belasan tahun menerusi amalan ritual angkat sumpah berdarah.

Malah beberapa ahli kumpulan itu yang disyaki masih bebas kini  diburu polis selepas dikenal pasti telah terlibat dalam satu kejadian rusuhan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam pada 19 September 2020.

Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato’ Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media kejayaan kontinjen polis Selangor menumpaskan gengsterisme dan kumpulan kongsi gelap sejak 2019 hingga Mac 2021 bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto SHAFIY ZUL, 09 APRIL 2021.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian itu, kira-kira 40 lelaki disyaki ahli kongsi gelap telah memukul dan mencederakan pengawal keselamatan premis itu sehingga parah.

Kejadian berpunca selepas beberapa ahli kongsi gelap itu berjumpa dengan pemilik pusat hiburan dan berbincang mengenai bayaran wang perlindungan.

“Namun semasa perbincangan pemilik premis tidak bersetuju dengan permintaan kumpulan kongsi gelap itu menyebabkan kumpulan itu menyerang, merosakkan premis serta mencederakan pekerja dan pelanggan premis itu sebelum satu pasukan siasatan khas polis menyiasat insiden itu yang membabitkan kongsi gelap.

“Hasilnya berjaya membawa kepada tangkapan seramai 16 orang yang terlibat dalam rusuhan itu dan soal siasat ke atas mereka mengakui ahli kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja dari Klang sebelum berjaya membawa kepada tangkapan 50 ahli kumpulan itu sehingga kini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato’ Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media kejayaan kontinjen polis Selangor menumpaskan gengsterisme dan kumpulan kongsi gelap sejak 2019 hingga Mac 2021 bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto SHAFIY ZUL. 09 APRIL 2021.

Daripada jumlah itu, seramai 19 orang ahli kongsi gelap berkenaan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah manakala 20 lagi ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala 11 orang lagi masih direman polis.

Tambah Arjunaidi,  antara kes-kes jenayah yang sering dilakukan kumpulan Geng 24 Bukit Raja  itu adalah kes pergaduhan atau merusuh yang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, mencederakan dengan senjata (Seksyen 324 Kanun Keseksaan), Samun 395/397 Kanun Keseksaan dan oemerasan (384/385 Kanun Keseksaan).

Menurut Arjunaidi, hasil soal siasat juga mendapati jumlah keahlian kumpulan itu hampir mencecah lebih kurang 100 orang dan mereka majoriti mereka terdiri daripada remaja berumur lingkungan 20-an termasuk 10 peratus daripadanya pelajar sekolah.

Selain itu katanya, kumpulan itu aktif dalam merekrut ahli baharu untuk menyertai kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja kerana mendakwa seseorang yang menyertai mereka akan ditawarkan perlindungan, pengaruh, kuasa dan kewangan.

Ia menyebabkan ada dalam kalangan pelajar terpengaruh, katanya.

Justeru jelas beliau, beberapa ahli kongsi gelap yang sama menjalani upacara angkat sumpah berdarah sebagai syarat menjadi ahli tetap.

“Ia satu upacara ritual lazim yang diamalkan kumpulan-kumpulan kongsi gelap sejak berkurun itu sebagai bertujuan menunjukkan taat setia, patuh dan hormat kepada ketua, organisasi dan kumpulan yang disertainya.

“Perbuatan ini jelas menunjukkan mana-mana yang terlibat dalam upacara angkat sumpah berdarah itu adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Selain itu, katanya, mana-mana yang menjadi ahli atau terlibat dalam kumpulan kongsi gelap boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-dua sekali.

Mereka juga disiasat dan dirancang untuk diambil tindakan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 130V(ahli Kumpulan Jenayah Terancang) dan Seksyen 130W (membantu kumpulan jenayah terancang).

Ketua Polis Selangor, YDH DCP Dato’ Arjunaidi Mohamed bercakap pada sidang media kejayaan kontinjen polis Selangor menumpaskan gengsterisme dan kumpulan kongsi gelap sejak 2019 hingga Mac 2021 bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto SHAFIY ZUL, 09 APRIL 2021.

“Kami masih memburu lapan individu ahli kumpulan ini yang masih bebas bagi membantu siasatan dan mendesak kerjasama awam untuk  tampil memberikan maklumat kepada polis,” tegasnya.

Menurut Arjunaidi, pihaknya percaya walaupun ketua geng kongsi gelap itu ditangkap namun individu lain dari kumpulan yang sama akan mengambil alih kumpulan berkenaan.

“Kita juga sudah mengenal pasti sekolah-sekolah yang telah disasarkan kumpulan kongsi gelap ini untuk merekrut pelajar dan polis sedang siasat dan memantau secara rapat,” tegasnya.-MalaysiaGazette