Soffian Santong.

GEOGE TOWN – Perselisihan faham empat lelaki berkaitan hutang berjumlah RM800 berakhir dengan tragedi berdarah selepas seorang daripada mereka cedera ditikam dalam satu kejadian di lobi Mansion One, Jalan Pangkor di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya terima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.58 pagi sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati seorang lelaki berusia 25 tahun cedera ditikam pada bahagian perut ekoran terlibat dalam satu pergaduhan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, tunang kepada salah seorang daripada empat lelaki itu menuntut hutang berjumlah RM800 daripada lelaki berusia 33 tahun sebelum lelaki tersebut datang bersama rakannya yang juga mangsa ditikam.

“Susulan itu, tunang wanita berkenaan berusia 26 tahun turut hadir di lokasi terbabit bersama rakannya berusia 30 tahun sebelum berlaku perselisihan faham antara mereka berempat.

“Dalam perselisihan faham itu lelaki berusia 25 tahun cedera ditikam manakala tunang kepada wanita berkenaan pula cedera di kepala akibat dipukul menggunakan topi keledar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa yang cedera itu dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Kesemua empat suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Selain itu, pihak polis turut merampas sebilah pisau lipat sepanjang lima sentimeter serta topi keledar yang digunakan dalam kejadian terbabit,” ujar Soffian.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette