Kerajaan Pahang telah mengeluarkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat tarawih dan aktiviti masjid sepanjang Ramadan ini.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Kerajaan Pahang baru-baru ini telah mengeluarkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat tarawih dan aktiviti masjid sepanjang Ramadan ini.

Garis panduan  tersebut meliputi aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan bagi memastikan umat Islam di negeri itu  dapat menunaikan ibadah dalam suasana penularan Covid-19.

Solat Isyak berjemaah dibolehkan disusuli solat sunat tarawih, witir, wirid, tahlil dan doa namun hendaklah tamat antara jam antara 9.45 dan 10 malam.

Selain itu, jumlah jemaah berdasarkan kapasiti ruang solat disediakan dengan kawalan oleh pihak pengurusan masjid dan manakala  jemaah hendaklah terdiri daripada komuniti setempat di dalam kariah masing-masing.

Antara aktiviti dalam masjid dibenarkan dalam masjid ialah tazkirah, tadarus, qiamulail dan pembukaan kaunter tiket zakat fitrah.

“Qiamullail dibenarkan pada 10 malam terakhir sahaja bermula jam 3 pagi hingga solat Subuh.

“Majlis Iftar, moreh dan sahur juga dibenarkan tetapi dalam bentuk makanan berbungkus dibuat secara agihan oleh pihak pengurusan masjid dan tidak dibenarkan dihidang secara bufet.

“Jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri bersaiz besar, saiz minimum 110 cm X 70 cm, memakai pelitup muka, imbas suhu dan daftar menggunakan aplikasi MySejahtera, PahangGo atau buku kehadiran,” kata kenyataan yang sama.

Dalam pada itu aktiviti yang tidak dibenarkan ialah imam dan penceramah jemputan dari luar negeri Pahang termasuk dari pondok dan maahad tahfiz, penyertaan pelajar dari sekolah berasrama, jemaah di bawah umur tujuh tahun, tazkirah tarawih, aktiviti berkumpul sebelum dan selepas solat dan solat tarawih di luar lokaliti.

Kebenaran untuk aktiviti Ramadan akan dibatalkan sehingga dibenarkan oleh pihak berkuasa jika berlaku sebarang pelanggaran SOP yang telah ditetapkan.

Justeru pihaknya berharap semua pengurusan masjid dan surau hendaklah mematuhi pekeliling, arahan sedia ada dan arahan dari masa ke semasa yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Pahang dan Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang. – MalaysiaGazette