KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerak98 dan Otai Reformis hari ini mendesak Pakatan Harapan (PH) Selangor khususnya PKR menolak calon-calon yang disyaki masih mempunyai hubungan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pilihan raya akan datang.

Setiusaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail dan Ketua Gerak 98, Mohamad Ezam Mohd Nor dalam sidang media menegaskan mereka tidak mahu Langkah Sheraton berlaku di Selangor dengan memastikan calon benar-benar bersih daripada pengaruh bekas Timbalan Presiden PKR itu.

“Kami mendesak parti untuk menolak calon-calon daripada kalangan mereka yang diyakini masih punya hubungan dengan Azmin Ali dan kumpulannya.

“Gerak98 & Otaj Reformis sentiasa berpegang kepada semangat, prinsip reformasi serta akan mempertahankan dan mendokong perjuangan reformasi demi rakyat dan negara.

“Kerusi-kerusi DUN di Selangor pada masa ini disandang oleh sejumlah mereka yang masih merupakan pendokong Azmin sehingga hari ini melalui tindakan dan kenyataan mereka yang kami pantau secara dekat.

“Kami mengambil sikap keras tanpa kompromi memastikan setiap pemimpin dan wakil rakyat yang masih berada di dalam Kerajaan Negeri Selangor ini tidak khianat,” katanya pada sidang media bersama di Restoran Amjal, hari ini.

Dalam pada itu, pertubuhan itu juga mendesak parti untuk menampilkan calon-calon yang benar-benar berwibawa, tulen perjuangan reformasinya.

“Kami mahu calon-calon yang mempunyai rekod perjuangan reformasi terbukti sejak 1998 lagi serta memahami dan sedia berjuang untuk rakyat sepanjang perkhidmatan mereka.

“Kita tidak boleh sama sekali membenarkan perjuangan reformasi ini dirosakkan lagi dengan episod khianat dalam PRU15 nanti,” katanya.

Mereka mendakwa, perjuangan reformasi telah dikhianati berkali-kali dan paling parah pada 2020 di mana Kerajaan Persekutuan yang diasaskan atas semangat dan perjuangan reformasi tumbang.

“Episod pengkhianatan ini diatur cukup lama dan cukup teliti dengan membina kekuatan dalam kalangan pimpinan, ahli Parlimen, ADUN serta seluruh negeri termasuk cabang dan ranting.

“Episod ini juga membuktikan satu hakikat bahawa punca kejatuhan dan kehancuran adalah daripada kalangan pemimpin dan wakil rakyat itu sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Patutnya ph kena ada satu badan pemantau untok merisik kegiatan dalam gelap supaya perkara itu tidak berilang atau perangan sulit itu dapat dihalang lebih awal

Comments are closed.