JOHOR BAHRU – Seorang eksekutif produksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dakwaan merasuah seorang kakitangan kerajaan sebanyak RM3,000 di Kluang pada 13 Julai tahun lalu.

Tertuduh, Wong Xin Wei, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Penguatkuasaan dan Keselamatan, Majlis Perbandaran Kluang telah memberikan suapan RM3,000 kepada ejen kerajaan, Nik Ekbar Effendi Nik Sazali.

Tertuduh didakwa melakukan suapan itu sebagai dorongan untuk membatalkan kompaun bagi kesalahan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran majlis.

Bagi kesalahan tersebut, dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun beserta denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian memberikan jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan beserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu lapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kluang setiap 2 haribulan sepanjang kes berlangsung.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 26 April ini.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam, Im Pang Kiat. – MalaysiaGazette