Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Kes positif Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat di Kelantan, memaksa kerajaan negeri itu membuat keputusan membatalkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Keputusan itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr, Izani Husin, sebaik Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan kes harian Covid-19, semalam.

“Bazar Ramadan Bazar Aidilfitri Seluruh Kelantan Dibatalkan. Madinah Ramadan Ditukar Menjadi Pusat Rawatan Dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (Pkrc). Ikhtiar Demi Membendung Penularan Covid-19,” tulisnya dalam laman Facebook miliknya.

Menurut beliau, mengikut KKM, sehingga semalam, kes positif Covid-19 di Kelantan merekodkan sebanyak 171 kes, iaitu ketiga tertinggi di negara ini selepas Selangor 415 kes dan Sarawak 296 kes.

“Kelantan mengenal pasti satu kluster baharu iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian yang melibatkan tempat kerja di daerah Tumpat, Bachok dan Kota Bharu,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri beroperasi menerusi jumlah kapasiti penjual dan pembeli bersesuaian dengan lokasi.

Katanya, peniaga hanya dibenarkan melayan dua pelanggan pada satu-satu masa.

Pertengahan Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenar operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan mematuhi SOP ditetapkan dan akan dipantau oleh pihak berkuasa tempatan di negeri masing-masing.

Selain itu, kerajaan juga membenarkan solat Tarawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara dengan jumlah kehadiran jemaah tertakluk kepada pihak berkuasa agama di setiap negeri. – MalaysiaGazette