Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Perkembangan penularan Covid-19 di dalam negara pada hari ini menyaksikan pertambahan lebih 200 kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 1,739 kes direkodkan hari ini dengan 535 daripadanya dicatatkan di Selangor.

“Sarawak 443 kes, Sabah 127, Pulau Pinang 113, Kelantan 98, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 96, Johor 67, Melaka 59, Perak 50, Negeri Sembilan 40, Kedah 40, Terengganu 34, Pahang 22, Putrajaya 11, Labuan 4, dan Perlis tiada kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini jumlah keseluruhan jangkitan di dalam negara mencecah 360,856 kes, ujarnya.

Menurut Dr. Noor Hisham, sejumlah 1,731 kes penularan tempatan direkodkan dengan 1,343 kes melibatkan warganegara dan 388 bukan warganegara dengan dengan lapan kes import.

Lapan kes import direkodkan hari ini melibatkan tiga warganegara dan lima bukan warganegara, katanya.

Tambah beliau, sebanyak 15,574 kes aktif direkodkan.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 183 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 81 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM juga merekodkan lapan kes kematian berkaitan Covid-19, dengan semuanya melibatkan warga tempatan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian membabitkan wabak itu sebanyak 1,329 kes atau 0.37 peratus daripada kes yang dilaporkan setakat ini.

“Sebanyak 1,216 kes pulih juga dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes sembuh sepenuhnya di negara ini sebanyak 343,953 kes atau 95.3 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan,” katanya.

Dalam pada itu, lapan kluster baharu Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Lima tempat kerja dan tiga kluster komuniti direkodkan yang mana di Selangor dua kluster dkenal pasti, empat di Sarawak dan masing-masing satu di Kelantan dan Sabah.

“Kluster Jalan Kasawari dikesan di daerah Kuala Langat dengan 49 kes, Kluster Jalan Desaria melibatkan daerah Sepang, Gombak, dan Hulu Langat di Selangor dengan 13 kes, Kluster Jalan Bambangan dikesan daerah Mukah dan Dalat di Sarawak dengan 30 kes, Kluster Jalan Badarudin melibatkan daerah Kuching dan Samarahan di Sarawak dengan 17 kes dan Kluster Jalan Zainab di daerah Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan dengan 51 kes,” demikian menurut Noor Hisham lagi.

Tiga lagi adalah kluster komuniti iaitu Kluster Nanga Kelangas di Julau, Sarawak yang menjangkiti 37 pesakit, Kluster Abak Bon melibatkan daerah Miri dan Subis di Sarawak dengan 34 kes dan Kluster Meruntum di daerah Putatan dan Penampang, Sabah dengan lapan kes positif Covid-19. – MalaysiaGazette