KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menutup sementara pejabat dan kaunter di Pekan, Pahang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 9 hingga 22 April ini.
Sehubungan itu, semua semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke KWSP Pekan dibatalkan serta merta.
Jurucakap KWSP berkata, ahli yang telah membuat janji temu di pejabat Pekan yang dijadualkan dalam tempoh PKPD perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.
Katanya, ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP iaitu i- Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan) yang beroperasi seperti biasa.
“Bagaimanapun, pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.
“Manakala ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut jurucakap itu, bagi sebarang penjelasan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03-89226000.
Kata KWSP, pada masa yang mencabar ini, pihaknya komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau saluran digital.
Namun, kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette