PASIR MAS – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengenal pasti tujuh daripada 14 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kelantan adalah tokoh akademik bergelar profesor.
Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, selebihnya adalah bekas pegawai kanan kerajaan melibatkan jurutera, bekas pegawai tinggi polis dan tentera.
Katanya, beliau tidak akan sekali-kali memilih calon ‘biawak kampung’ seperti yang diletakkan oleh parti lain untuk bertanding, kemudian menipu rakyat kononnya calon mereka berjiwa rakyat.
“Saya hendak pesan dan ingatkan kepada rakyat Kelantan, saya berusaha dan bekerja keras memimpin Putra dengan memilik mereka yang betul-betul baik dan profesional untuk bergiat dalam parti ini.
“Saya tidak ambil mereka yang ‘masuk angin keluar asap’ dalam Putra. Semua calon kita adalah golongan profesional, disegani rakyat dan sentiasa mendekati masyarakat sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pejabat Cakno Rakyat Putra Bahagian Pasir Mas.
Turut hadir, Ketua Putra Bahagian Pasir Mas, Ir. Suharto Mat Nasir.
Kata Dr. Ibrahim, demi perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara, beliau nekad berusaha mencari pemimpin dan barisan kepimpinan lebih baik daripada yang ada dalam parti politik sekarang.
“Saya tidak pilih jenis biawak kampung, jenis musang yang menunggu nak mencuri telur ayam. Saya cari tokoh-tokoh profesional seperti profesor, doktor, jurutera, arkitek dan sebagainya.
“Buktinya, Putra tidak diisi oleh pelompat parti, tetapi dibarisi oleh bekas-bekas penjawat kanan awam, bekas pegawai tertinggi polis dan tentera,” katanya.
Dr. Ibrahim turut menyatakan, penggal ini adalah tempoh terakhir beliau berkhidmat bakti kepada rakyat Kelantan.
Katanya, jika rakyat negeri itu belum bersedia menukar kerajaan sekarang, yang ternyata gagal mentadbir selama lebih 30 tahun, beliau tidak dapat berbuat apa-apa. – MalaysiaGazette
Putra ni tak minat nak masuk PN kah? Hj Hadi tak jemput Putra join kaaa? Duk sibuk dgn UMNO jaaa .kata perpaduan Ummah .kih3