Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 28 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria ditahan semalam kerana menghalang tugas penjawat awam apabila cuba melarikan diri daripada Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Kajang, Selangor.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt. Mohd. Sabri Abdullah, suspek yang memandu sebuah kereta enggan melalui sekatan jalan raya dan cuba untuk berpatah balik.

“Dalam kesesakan lalulintas anggota polis telah mengejar dan mengarahkan motorkar tersebut berhenti namun suspek enggan sehingga sampai di persimpangan lampu isyarat merah.

“Semasa anggota polis ingin membuat pemeriksaan, suspek kemudian telah memecut laju dan terus melarikan diri. Anggota polis cuba mengejar namun suspek telah berjaya melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Mohd Sabri, kurang empat jam selepas kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang berjaya menahan dan menangkap lelaki berkenaan di pekarangan kawasan parkir kereta di Jalan Ikram – Uniten.

Ujarnya, suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

Suspek kini direman selama empat hari mulai 11 April hingga 14 April 2021 bagi melengkapkan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh didenda tidak lebih RM10,000  atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette