KUALA LUMPUR – Enam negeri kekal dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) selama dua minggu mulai 15 hingga 28 April ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, negeri itu melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.
Dalam pada itu, kata beliau, 10 negeri lagi kekal dengan pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh yang sama dengan enam negeri PKPB, yang berakhir 28 April 2021.
“Negeri diletakkan bawah PKPP ialah Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pengekalan negeri PKPB dan PKPP ini berkuatkuasa 15 hingga 28 April ini, kecuali Sarawak berkuatkuasa mula esok hingga 26 April 2021,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, rentas negeri masih tidak dibenarkan, kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke PKPP dengan menggunakan syarikat atau agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.
Jelas Ismail Sabri, rentas daerah dibenarkan, kecuali Sabah dan Sarawak tidak dibenarkan atas keputusan kerajaan negeri masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan memutuskan pengekalan dua status itu berikutan kes positif harian Covid-19 menunjukkan trend turun naik dan rakyat belum selamat daripada dijangkiti.
Katanya, kes positif masih menunjukkan empat angka, iaitu lebih 1,000 kes sehari, menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terpaksa membuat keputusan untuk kekalkan status PKPB di enam negeri dan PKPP di 10 negeri. – MalaysiaGazette