Dr. Ibrahim (tiga dari kanan) menyerahkan watikah pelantikan kepada Abdul Rani (dua dari kiri) sebagai Ketua penaja Putra Bahagian Bandar Tun Razak di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau mempelawa Abdul Rani Kulup menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berdasarkan hati nuraninya yang ikhlas berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Katanya, beliau tidak memilihnya berdasarkan identiti yang berbeza dari individu lain seperti pakaian dan penampilan, sebaliknya ketokohan kepemimpinan yang dimiliki ‘Raja Report’ itu.

“Saya tabik kepada Abdul Rani. Saya tak terima dia kerana pakaian dan jubah, saya tengok hatinya dan saya yakin dia adalah tokoh yang mempunyai keimanan yang tebal dari segi perjuangan.

“Komen-komennya mengenai isu semasa pendek, tetapi bernas. Dia ulas pasal politik negara dan isu biasa sentiasa mendapat perhatian dan sokongan. Orang lain tidak boleh buat sepertinya,” katanya pada majlis pelancaran Putra Bahagian Bandar Tun Razak di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Pada majlis itu Dr. Ibrahim menyampaikan watikah pelantikan Abdul Rani sebagai Ketua penaja Putra Bahagian Bandar Tun Razak.

Menceritakan lebih lanjut bagaimana ianya bermula, Dr. Ibrahim berkata, dia ada menjemput Abdul Rani datang ke pejabatnya tiga empat bulan lalu, tanpa memaklumkan tujuan pelawaan itu.

Katanya, sebaik individu yang lebih dikenali sebagai Ayahanda Rani itu datang, beliau menyatakan hasratnya untuk memberi ruang dan peluang kepadanya berada di platform yang tepat jika mahu menterjemahkan perjuangannya.

“Saya kata kepadanya, mana-mana kerajaan sebelum ini buta mata hati. Melantik Dewan Negara (Senator) di kalangan yang tidak ada semangat perjuangan, sedangkan orang yang layak ialah Abdul Rani.

“Orang yang setiap minggu turun padang senyap-senyap menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, fakir miskin, ibu tunggal adalah ini orangnya (Abdul Rani), bahkan, sikap prihatinnya mengatasi ustaz Ebit Lew.

“Orang yang boleh bercakap mengenai dasar, matlamat dan perjuangan negara di Dewan Negara dan Dewan Rakyat adalah Abdul Rani, bukan segelintir Ahli Parlimen sekarang yang masuk dewan memekik melolong, buat kecoh,” ujarnya.

Beliau berharap, dengan adanya Abdul Rani dalam Putra, dapat membantunya bersama barisan kepimpinan untuk menjelaskan matlamat dan dasar perjuangan parti itu kepada rakyat.

“Perlu diingat, saya menawar kepadanya menyertai Putra bukan soal kepentingan parti ini. Malah, Putra hanya sebagai platform sahaja. Impian saya ialah mahu melihat Abdul Rani berada dalam Parlimen dan berucap.

“Saya pernah beberapa penggal dalam Parlimen dan kalau panjang umur, kesihatan baik dan menang PRU, saya akan kembali semula ke Dewan Rakyat.

“Kalau diizinkan, rakan seperti Abdul Rani serta semua calon Putra menang dan berada kiri kanan saya, kami akan gegarkan Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast