Proses Rukyah dan Mencerap Hilal di Menara 188 dihadiri Sahibus Samahah Mufti Pahang.

KUANTAN – Menara 188 di sini berpotensi menjadi lokasi tapak cerapan baru bagi proses rukyah dan cerapan hilal berdasarkan kepada kedudukan dan ketinggiannya.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, cadangan tersebut disuarakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Kata beliau, lokasi Menara 188 berketinggian 180 meter yang merupakan menara kedua tertinggi di Malaysia sesuai dan strategik dijadikan lokasi mencerap di Pahang.

Mufti Pahang menggunakan alatan teknologi tinggi dari JUPEM dikenali sebagai Celestron bagi melihat anak bulan dalam proses cepan hilal.

Terdapat tiga lokasi tapak cerap di Pahang iaitu Bukit Pelindung, Gunung Brincang di Cameron Highlands dan Bukit Tanjung Batu di Nenasi.

“Menara 188 adalah cadangan Setiausaha Kerajaan Pahang sebagai tambahan lokasi cerapan, namun proses permohonan berperingkat dan masih panjang.

“Proses telah memohon pihak JUPEM bagi memastikan tempat ini sesuai dan apabila diluluskan akan dimohon kepada Majlis Agama Islam adat Resam Melayu Pahang.

“Kemudian apabila diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah dan Pemangku Raja Pahang barulah dicadang kepada Majlis Raja-raja, baru boleh ditentukan lokasi baharu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas proses rukyah dan cerapan hilal bagi menentukan tarikh berpuasa di aras terbuka Menara 188, Kuantan.

YB setiausaha Kerajaan Pahang memantau perkembangan proses mencerap bersama kakitangan JUPEM di Menara 188

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak; Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Md Yunos dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Husin.

Proses cerapan Hilal bermula seawal pagi selepas waktu Ijtimak pada jam 10.32 pagi tadi sehingga 13 minit selepas matahari terbenam melibatkan bantuan kepakaran pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sunnahnya tengok anak bulan dengan mata kasar. Sekiranya mata kasar tak nampak tetapi teropong nampak maka hukumnya masih tak nampak.

Comments are closed.