KUALA LUMPUR – Apa faedahnya mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar, tetapi pada masa sama tidak berintegriti, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, sekiranya dari awal lagi pemerintah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti, ia akan berakhir dengan kemusnahan negara.
Justeru, katanya, Pas dan rakan pakatan dalam Perikatan Nasional (PN) menawarkan kerajaan selamatkan rakyat dengan pemerintahan sebuah negara berkebajikan yang membawa berkat.
“Kita menolak pemerintah yang berbohong kerana ia cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti dan yang pasti mengundang semua perangai buruk lain, termasuk menjadi kleptokrat.
“Selain kehilangan integriti pemimpin, ia akan diikuti dengan kelemahan kerajaan itu sendiri yang penamatnya adalah kemusnahan negara,” katanya menerusi Minda Presiden Pas yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, perubahan itu bukan dengan mendapat kuasa kuat di bumi yang kaya-raya dengan apa sahaja, tetapi perubahan peribadi pemimipin dihormati rakyat kerana mempunyai sifat integriti, adil dan bijaksana.
Katanya, bukan melalui cara rakyatnya dibuli dengan kezaliman, dibeli dengan politik wang, diberikan rasuah dan ditipu dengan pelbagai pembohongan sehingga integriti tidak lagi menjadi keutamaan.
Malah, terdapat negara yang dimusnahkan kerana berlakunya kezaliman, keruntuhan moral, salah laku dan sebagainya.
“Semua itu berlaku berpunca daripada tidak beriman dan budiman sehingga ilmu dan kebijaksanaannya digunakan untuk menipu rakyat. Akhirnya rakyat menjadi mangsa kerana bersama menyokongnya,” katanya.
Beliau menjelaskan, konsep adil kepada semua adalah ciri terpenting bagi negara berkebajikan berteraskan akidah yang menghapuskan sifat melampau dalam segala aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial.
Katanya, adil adalah salah satu ciri terpenting kepada negara berkebajikan yang bermasyarakat majmuk.
“Berlaku adil kepada seluruh manusia daripada pelbagai agama dan bangsa, bahkan juga diwajibkan berlaku adil terhadap musuh,” katanya. – MalaysiaGazette
Semoga PAS dan BERSATU terus memimpin Negara ini, selamanya!!