KUALA LUMPUR – Ketika pihak musuh sibuk mengatur strategi dan menyusun atur perancangan untuk menyerang institusi presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tenang di rumahnya meluangkan masa bersama keluarga.
Presiden UMNO itu berkata, sebaik selesai majlis tahlil, beliau bersama ahli keluarga membuat persiapan menyambut Ramadan.
“Ceritanya begini, selepas majlis kecil-kecilan dijalankan, anak keempat mencadangkan supaya kami sekeluarga menonton filem Hantu Kapchai. Katanya, mahu menyokong filem tempatan. Saya beritahu mereka saya okay, kita layan dan tengok siapa yang takut.
“Bagi saya, keluarga adalah segala-galanya. Dalam situasi yang sukar mahupun senang, keluarga tidak pernah sesekali meninggalkan saya bersendirian.
“Dalam ‘mood’ yang begitu panas ketika ini, dengan serangan bertali arus, keluarga adalah penyuntik semangat dan mereka menjadi tonik untuk saya meneruskan perjuangan. Kesinambungan untuk berbakti pada agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi coretan di Twitternya.
Menurut Ahmad Zahid, seperti biasa beliau akan bersandar di dinding kaca, manakala cucunya tidur di hadapan skrin untuk menonton.
Kata beliau, unsur filem itu ada jenaka dan seram, tetapi dirinya steady sahaja, tidak kiralah ada jenaka, seram ataupun ‘serangan secara diam’, beliau tetap kekal tenang.
“Apa-apa pun aktiviti malam tadi, mengeratkan silaturahim antara keluarga saya. Saya sayang keluarga dan harap sahabat saya juga begitu.
“Ingat, esok sudah mula berpuasa. Jangan culas. Kepada geng plastik hitam tinggalkanlah plastik hitam anda.
“Jangan lupa bayar fidyah untuk tahun sebelumnya. Ini masa untuk kita beramal ibadah. Kita sudah kesuntukan masa dan tingkatkan amalan kita. Semoga ia menjadi bekalan untuk bertemu Allah kelak,” katanya lagi.
Beliau berharap kedatangan Ramadan kali ini membawa erti bermakna dan lebih baik berbanding tahun terdahulu.
“Ayuh, malam ini kita solat Tarawih. Selamat menyambut Ramadan Almubarak,” tulis beliau. – MalaysiaGazette
Selamat menyambut ramadhan juga datuk seri.