KLUANG – Hubungan  Malaysia dan Singapura tidak terjejas meskipun jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara itu masih lagi dalam proses pelantikan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,  beberapa perkara teknikal perlu dikaji terlebih dahulu sebelum urusan pelantikan dilakukan.

“Ini penting trutamanya soal calon yang sedang diuruskan Wisma Putra.

“Pelantikan masih dalam proses, tetapi sama ada jawatan itu diisi atau tidak, semua sedia maklum bahawa hubungan kita dengan Singapura berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Paloh, dekat Kluang, Johor.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin bersara wajib pada April tahun lalu.

Tambah beliau, banyak kekosongan yang perlu diisi berikutan penularan Covid-19.

Beberapa isu turut dikaitkan dengan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi di negara berkenaan termasuk masalah kesesakan bagi warga Malaysia yang mahu memperbaharui pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Sebelum ini akhbar, The Straits Times melaporkan rakyat Malaysia yang perlu beratur sehingga lima jam untuk urusan berkenaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada 4 Mei ini.

“Jikalau tak silap saya Perdana Menteri akan ke sana pada awal Mei ini.

“Antara agenda yang dijangka akan disentuh dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu adalah pembukaan pintu sempadan Malaysia-Singapura yang sudah lebih setahun ditutup ekoran pandemik Covid-19.

“Malah, proses perbincangan dan rundingan berhubung perkara itu juga sentiasa berjalan antara saya dengan Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan saya juga berhasrat untuk berkunjung ke sana dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette