Tun Faisal Ismail Aziz
Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz  akan melafaz sumpah di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur Jumaat ini.

Pada masa sama, beliau mengajak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan perkara sama di surau itu pada jam 2.30 petang, bagi membuktikan suara yang dikatakan miripnya dalam audio rakaman perbualan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan dirinya.

Menurut Tun Faisal, beliau akan melafazkan sumpah atas nama Allah bagi membuktikan beliau tidak terlibat merakam perbualan Ahmad Zahid dan Anwar atau mencipta audio tersebut.

“Saya (akan dibaca oleh saya) bersumpah atas nama Allah, Wallahi, Wabillahi,  Watallahi bahawa saya tidak terlibat merakam perbualan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mencipta audio tersebut.

“Saya juga tidak terlibat menyebarkan audio tersebut, melainkan hanya beberapa kumpulan Whatsapp dan individu bagi membuktikan saya benar dalam hal kerjasama Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

”Saya juga bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa surat sokongan Datuk Seri Zahid Hamidi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga benar dan wujud,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu, beliau telah dituduh terlibat merakam atau mencipta audio perbualan Ahmad Zahid dengan Anwar.

Katanya, beliau juga telah dituduh memfitnah Presiden UMNO berhubung kewujudan surat sokongan terhadap Anwar.

“Tulisan yang memfitnah saya sebagai dalang ‘penciptaan’ dan penyebaran audio Anak Murid-Cikgu ini telah disebarkan menggunakan aplikasi WhatsApp kepada Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Sayap Bahagian oleh pihak yang mempunyai nombor telefon mereka.

“Besar kemungkinan oleh pihak UMNO Pusat sendiri yang mempunyai akses terhadap nombor Ketua-ketua UMNO Bahagian dan sayap-sayap bahagian di seluruh negara.

“Pada masa sama, Datuk Seri juga telah dikecam hebat kerana menipu perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 berikutan tersebarnya audio perbualan Datuk Seri bersama Anwar dan sebelum itu, kerana surat sokongan Datuk Seri dan Datuk Seri Najib Razak kepada Anwar,” ujar beliau.

Atas sebab itu, katanya, beliau mengajak Ahmad Zahid untuk bersumpah bersama-sama dengannya supaya masing-masing dapat membersihkan nama seperti yang dianjurkan Allah dan RasulNya.

Kata beliau, bersumpah atas nama Allah setidak-tidaknya boleh meredakan kecaman terhadap Presiden UMNO kerana laporan polis untuk menyiasat kesahihan audio itu akan mengambil sedikit masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Masuk surau dan bersumpah? Alamat dipanah petirlah BELATUK DI BAGAN DATUK hingga lebur tulang-tulangnya bilamana menafikan yang benar kononnya itu palsu.

Comments are closed.