Orang ramai memenuhi bazar untuk membeli makanan berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

DI bulan Ramadan, ramai yang memilih untuk membeli makanan di bazar kerana terdapat banyak pilihan dan semuanya nampak enak di mata. Setelah seharian penat bekerja, bazar Ramadan dianggap sebagai penyelamat kerana isteri-isteri tidak perlu bersusah payah untuk memasak di rumah.

Selain bazar Ramadan, ada peniaga yang menjalankan perniagaan makanan daripada rumah. Makanan siap dimasak samada dihantar sendiri oleh peniaga atau menggunakan khidmat penghantaran seperti Lalamove, Bungkusit dan sebagainya.

Masih ingatkah anda semua tentang tragedi puding buih pada bulan Ramadan tahun
lepas? Mengikut laporan, seramai 99 orang telah mendapatkan rawatan akibat keracunan
makanan selepas memakan puding buah yang dibeli. Lebih menyedihkan, seorang daripada mangsa meninggal dunia akibat mengalami komplikasi yang teruk.

Fakta paling penting tentang keracunan makanan ialah ia boleh dielakkan dengan
mengamalkan tatacara penyediaan dan pengendalian makanan yang betul. Keracunan
makan bolah terjadi disebabkan oleh penyediaan makanan yang tidak sempurna dan tidak
bersih. Telur dan daging ayam misalnya, berisiko untuk menyebabkan jangkitan oleh
bakteria Salmonella.

Apabila telur atau daging ayam tidak dicuci bersih dan dimasak sempurna, seseorang boleh mendapat keracunan yang dinamakan Salmonellosis. Contoh bakteria lain ialah Staphylococcus aureus yang selalunya berkaitan dengan makanan seperti
kuih kastad dan puding. Jangkitan Bacillus cereus adalah berkaitan dengan nasi goreng
terutamanya yang disimpan lama. Kuman jenis Campylobacter jejuni pula boleh disebabkan oleh memakan daging yang mentah atau separa masak.

Satu lagi penyakit yang berkaitan dengan makanan ialah penyakit demam kepialu atau
tifoid. Kuman Salmonella typhi, penyebab jangkitan tifoid disebarkan daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui tangan yang dicemari oleh najis. Pemeriksaan ke atas najis pembawa kuman ini mendapati bahawa ianya boleh mengandungi bakteria Salmonella typhi.

Sekiranya pembawa kuman tersebut tidak mencuci tangan dengan bersih
selepas membuang air besar, risiko untuk menyebarkan bakteria kepada orang lain
sekiranya beliau mengendalikan makanan adalah amat tinggi. Bagi pencegah penularan jangkitan tifoid, pihak berkuasa mengambil langkah proaktif sejak berpuluh tahun yang lalu dengan mewajibkan semua peniaga berdaftar dan pekerja-pekerja pengendali makanan untuk mendapatkan suntikan vaksin tifoid.

Walau bagaimapun ianya bukanlah bermaksud anda tidak berisiko untuk mendapat
keracunan makanan sekiranya membeli daripada peniaga berlesen. Bagaimana pula dengan jangkitan lain seperti jenis-jenis Salmonella yang lain, Bacillus cereus dan Staphylococcus areus? Ini adalah kerana vaksin untuk jangkitan-jangkitan ini tidak diberikan kepada pengendali makanan.

Bagaimana pula dengan mereka yang menjual dari rumah? Adakah mereka berdaftar
dengan pihak berkuasa tempatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pengendali dan penyedia makanan? Ramai di kalangan yang berniaga di rumah adalah daripada kalangan peniaga sambilan yang rata-rata berniaga kecil-kecilan untuk menambah pendapatan keluarga.

Justeru, kami ingin mensarankan beberapa langkah bagi pembeli makanan untuk
mengurangkan risiko keracunan makanan, bukan sahaja semasa bulan Ramadan, tetapi
juga boleh dijadikan panduan sepanjang masa:
Justeru, kami ingin mensarankan beberapa langkah bagi pembeli makanan untuk
mengurangkan risiko keracunan makanan, bukan sahaja semasa bulan Ramadhan, tetapi
juga boleh dijadikan panduan sepanjang masa:
1. Memasak sendiri di rumah, rancang menu anda serta buat persediaan awal.
2. Tidak membeli makanan yang telah dikenalpasti rosak seperti berbau, berbuih dan berubah tekstur.
3. Tidak membeli makanan berisiko seperti puding buih dan kek tiramisu yang menggunakan telur mentah sebagai bahan.
4. Sekiranya penjual makanan tidak menggunakan penyepit makanan untuk memindahkan kuih atau makanan daripada bekas ke plastic pembungkus, jangan teruskan pembelian anda.
5. Lihat tangan dan kuku pengendali makanan anda. Sekiranya kuku mereka panjang, memakai aksesori yang keterlaluan seperti cincin dan gelangan tangan semasa mengedalikan makanan, beli makanan daripada penjual lain.
6. Pastikan pengedali makanan anda memakai penutup kepala.
7. Untuk makanan seperti nasi kerabu, jangan beli daripada pengendali makanan yang menggunakan tangan untuk memecahkan keropok dan mengambil ulam-ulaman.
8. Beli hanya daripada peniaga makanan yang memaparkan lessen pengendali makanan mereka termasuk pengesahan suntikan vaksin tifoid.
9. Tanya penjual makanan anda, bilakah makanan tersebut dimasak? Elakkan membeli makanan yang telah dimasak terlalu lama.
10. Jangan beli sekiranya makanan tersebut dalam keadaan terdedah. Ini berisiko untuk mendapat jangkitan bawaan lalat, pencemaran silang ataupun tercemar dengan bendasing.

Bagi peniaga yang menjalankan perniagaan di rumah, kami nasihatkan anda untuk
mendaftar dengan pihak berwajib. Apabila telah mendaftar, anada akan mengikuti kursus
asas pengendalian makanan dan mendapat suntikan vaksin tifoid. Ini adalah untuk
memastikan makanan yang dibeli oleh pelanggan anda berkualiti, disediakan dengan
selamat dan mengurangkan risiko keracunan makanan.

Selain itu, kami mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan kursus pengendalian makanan serta mendapatkan vaksin tifoid kepada penghantar-penghantar makanan bermotosikal atau berkereta seperti penyedia perkhidmatan Grab Food Rider dan Foodpanda. Ini adalah penting kerana mereka juga terlibat mengendalikan makanan.

Penjagaan kebersihan diri termasuk tidak merokok, mempunyai kuku yang pendek, kerap membersihkan tangan dengan sabun atau hand sanitizer dan mengendalikan makanan dengan selamat adalah tanggungjawab setiap individu yang terlibat menyediakan makanan; daripada makanan mentah, kemudian cara penyediaan serta masakan, pembungkusan dan pengangkutan boleh berlaku pencemaran yang menyebabkan keracunan makanan.

Paling penting sekali, beg galas tempat simpanan makanan di motosikal mereka perlu dibasuh sehingga bersih dan dikeringkan setiap hari. Sisa-sisa makanan yang terlekat atau tumpah hendaklah dibersihkan dengan segera sebelum menerima pesanan selanjutnya. Para pelanggan boleh membuat aduan kepada syarikat sekiranya mereka meragui kebersihan diri atau kebersihan makanan yang dihantar oleh syarikat-syarikat ini.

Kesimpulannya, pembeli boleh memilih makanan yang disediakan selamat sebagai juadah
berbuka. Selain kekal sihat untuk berpuasa pada hari berikutnya, pembeli juga boleh
mengelakkan risiko keracunan makanan. Keracunan makanan yang serius boleh membawa maut.

Semua peniaga disarankan untuk mendaftarkan perniagaan mereka bagi memastikan makanan yang dihasilkan selamat untuk pelanggan. Kerajaan disarankan mewajibkan
penghantar-penghantar makanan mengikuti kursus pengendalian makanan dan
mengamalkan kebersihan diri bagi mencegah pencemaran ke atas makanan yang dibawa.

Oleh: Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) & Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia