Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya menggesa Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) secepat mungkin untuk menentukan siapa ada majoriti dan siapa lebih terintegriti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Presiden Pas itu tidak layak untuk bercakap mengenai perkara yang beliau sendiri tidak faham atau tidak mahu faham.

“Saya membaca tulisan Abdul Hadi dalam Facebooknya semalam. Dia mendakwa kononnya, apa guna orang politik memegang majoriti besar kalau mereka tidak ada integriti.

“Rumusan yang saya faham dari kenyataan ini ialah kalau parti seperti UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mendapat kemenangan besar, itu semua tidak ada erti kerana mereka tidak ada integriti.

“Bagi beliau dan barisan kepimpinannya hari ini, integriti itu bererti hanya ada pada orang yang belum dituduh atau tidak ada kes jenayah di mahkamah, sebaliknya ramai pemimpin UMNO sekarang ini digelar Kluster Mahkamah dan nampaknya tidak berintegriti,” katanya menerusi hantaran terbaharu Facebooknya.

Semalam, Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, apa faedahnya mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar, tetapi pada masa sama tidak berintegriti.

Beliau berkata, sekiranya dari awal lagi pemerintah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti, ia akan berakhir dengan kemusnahan negara.

Justeru, katanya, Pas dan rakan pakatan dalam Perikatan Nasional (PN) menawarkan kerajaan selamatkan rakyat dengan pemerintahan sebuah negara berkebajikan yang membawa berkat.

Pas dan PN menolak pemerintah yang berbohong kerana cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti dan yang pasti mengundang semua perangai buruk lain, termasuk menjadi kleptokrat.

Menurut Zaid, Presiden Pas itu perlu ingat, integriti berbeza dengan keperluan majoriti dan dua konsep yang berlainan.

Ujar beliau, kerajaan yang sah di negara ini adalah mereka yang disokong oleh sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum.

“Ini konsep yang mudah difaham. Kalaulah peluang diberi oleh Speaker, kita sudah lama mengetahui hal ini tanpa was-was. Keperluan majoriti adalah tuntutan perlembagaan dan kalau kita hormati perlembagaan itulah yang perlu dilaksanakan.

“Integriti, untuk maklumat Tok Guru Hadi Awang adalah sifat dan nilai seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan tidak putar belit fakta untuk sesuaikan diri mereka dengan keadaan semasa.

“Kluster Mahkamah bukan mereka yang hipokrit, apatah lagi menyalahgunakan kuasa. Mereka yang dihadapkan ke mahkamah, yang mana keputusan muktamad belum selesai, tidak termasuk dalam golongan orang yang tidak berintegriti,” katanya.

Beliau memberi contoh, kumpulan tidak berintegriti adalah termasuk mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa melalui darurat.

Contoh lain, katanya, menggunakan kuasa kerajaan “memujuk wakil rakyat lompat parti, menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan Dewan Rakyat, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam, tetapi tidak sanggup membuat perubahan menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara sesuai dengan kehendak negara demokrasi tulen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast