AJK UMNO Bahagian Seremban Idzwan Ismail

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Seremban menyifatkan penularan rakaman suara mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai cetek minda.

Ahli Jawatankuasanya, Idzwan Ismail menegaskan, ia tidak sepatutnya menjadi polemik mahupun isu negara, apatah lagi ia sekadar perbualan telefon antara dua pemimpin parti politik.

“Rakyat tak pernah lihatkah di luar Parlimen, ahli kerajaan dan pembangkang duduk satu meja sambil gelak ketawa, masuk ke dewan Parlimen mereka berdebat semula!

“Musuh politik bukan seperti musuh perang, mereka hanya berlainan ideologi, tapi tetap berkawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara mereka tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam audio berdurasi empat minit 17 saat itu, suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat selama 22 tahun.

Idzwan yang juga Ketua UMNO Cawangan Setul Mantin tidak menolak kemungkinan ia sengaja dicipta dan digembar-gemburkan oleh parti lawan terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Perkara ini juga wujud dengan bantuan broker-broker parti lawan yang berada dalam UMNO ingin melemahkan parti selain memecah-belahkan parti keramat ini.

“Apa yang pihak PPBM lakukan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menanam api kebencian akar umbi kepada Presiden UMNO,” katanya.

Beliau mendakwa PPBM cuba memecahkan empat kem dalaman UMNO dan sekiranya berjaya, mereka boleh menarik keahlian UMNO di peringkat cawangan untuk menyertai PPBM yang tidak memiliki ahli.

“Sebagai mana ditegaskan presiden UMNO sebelum ini dengan mengambil kira suara akar umbi, UMNO dengan nada tegas menyatakan No Anwar No DAP No PPBM.

“Kelantangan suara presiden pada PAU 2020 tiga minggu lalu menyebabkan PPBM mungkin berasa goyah apabila Datuk Seri Zahid mendapat sokongan penuh akar umbi.

“Bagi mengurangkan momentum sokongan, kami percaya pihak musuh politik terus menabur fitnah melalui audio itu bagi terus mengaitkan presiden UMNO dengan Datuk Seri Anwar,” katanya.

Sebagai akar umbi UMNO yang setia, Idzwan memberi peringatan kepada PPBM supaya jangan cuba untuk menghasut ahli UMNO mempercayai fitnah berkenaan.

“Walaupun sejuta helah cuba dilakukan sekalipun, kami tidak akan mempercayai fitnah berkenaan apatah lagi kami sudah masak dengan cara permainan politik kotor ini.

“Kami menggesa taktikal politik busuk ini dihentikan segera. Kami akar umbi UMNO akan terus menonjolkan taat setia parti ini kerana wadah perjuangan kami adalah untuk berbakti pada agama Islam, bangsa dan tanah air,” kataya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast