Lembaga Zakat Selangor (LZS)

KUALA LUMPUR – Kadar zakat fitrah di Negeri Selangor kekal RM7, RM14 dan RM21 seorang seperti tahun sebelumnya.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid berkata, kadar itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Menurutnya, golongan berkemampuan digalak menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

Kadar zakat sebanyak RM7 adalah bagi golongan yang memakan beras super special tempatan 5%.

Manakala kadar sebanyak RM14 bagi seorang individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, beras herba ponni atau beras wangi.

Kadar bayaran zakat sebanyak RM21 seorang pula bagi individu yang memakan beras basmathi, beras Jepun, atau beras merah, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, LZS telah melantik seramai 2,800 penolong amil bagi melaksanakan kutipan zakat fitrah seluruh negeri dan mereka telah ditempatkan di 450 masjid dan surau yang ada. – MalaysiaGazette