Dr Izani Husin

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM1.5 juta sebagai sumbangan kepada peniaga yang terkesan berikutan pembatalan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peruntukan itu melibatkan 2,500 peniaga yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan diagihkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam satu perbincangan pagi tadi.

“Kita berharap sagu hati ini dapat meringankan bebanan sesetengah peniaga yang terjejas oleh keputusan itu, bagi peniaga yang sudah membeli bahan mentah mahupun kering boleh berniaga di tempat-tempat lain,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, bayaran sewaan tapak bazar Ramadan juga akan dikembalikan kepada para peniaga yang sudah membuat bayaran.

Ditanya sama ada bazar akan dibuka semula sekiranya keadaan kembali terkawal, beliau berkata, bazar tidak akan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini.

“Walaupun kita gembira semalam berlaku penurunan kes COVID-19 di Kelantan, disebabkan COVID-19 ini berada dalam komuniti maka kita menjangkakan wabak itu akan terus meningkat.

“Apa yang membimbangkan saya ialah (jika) PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) bertukar kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di Kelantan,” tambahnya sambil menggesa seluruh penduduk mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung penularan COVID-19. – Bernama