Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyarankan kerajaan mencari penyelesaian bagi menambah hasil pendapatan negara, termasuk mengkaji semula pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, SST yang dilaksanakan pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbukti gagal memberi sumbangan kepada pendapatan negara.

Katanya, sistem itu ternyata gagal dilaksanakan kerajaan PH sebelum ini, tetapi masih diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu ada penyelesaiannya. Persoalannya, kenapa masih teruskan dasar SST yang ternyata gagal dilaksanakan PH sebelum ini?

“Kerajaan sekarang sepatutnya mempertimbangkan semula pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Apakah kerajaan PN akan menaikkan lagi had hutang negara kepada 64.1 peratus pada akhir 2021? Ini sudah melepasi paras 60 peratus yang luluskan Parlimen pada Ogos tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Dr. Mohd Puad berkata, kerajaan merancang berhutang sebanyak RM95 bilion pada tahun ini, yang bermakna jumlah hutang akan naik kepada RM975 bilion berbanding RM687 bilion sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu berkata, tidak salah kerajaan memberi bantuan kepada rakyat ketika situasi negara berdepan pandemik Covid-19, tetapi formula baharu perlu dilakukan bagi menambah hasil.

“Menteri kanan yang jaga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula seperti tidak kompeten untuk menarik pelabur asing.

“Minta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jangan tidur, kerja luar sudah kurang. Parlimen sudah lama cuti.

“Itu pun ada menteri yang tidak cukup tidur, dalam majlis boleh tidur nyenyak. Takkan nak potong gaji penjawat awam pula?,” katanya. – MalaysiaGazette